Op Kiosk Makau: 24 kompaun, 22 notis dikeluarkan MBAS

Foto RTM

ALOR SETAR, 3 Jun – Sebanyak 24 kompaun dan 22 notis dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dalam Operasi Kiosk Rokok/Tembakau (Op Kiosk Makau) yang bermula pada 31 Mei lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi menyasarkan kiosk rokok dan tembakau di kawasan Kota Setar dan Pokok Sena.
  • Sebilangan kompaun dikeluarkan kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sah dan mempamerkan iklan tanpa kebenaran PBT.
  • MBAS keluarkan notis kepada peniaga yang meninggalkan peralatan di tempat awam selepas waktu operasi dan penguatkuasaan akan diteruskan.

Operasi selama dua hari itu menyasarkan kiosk rokok dan tembakau yang beroperasi di sekitar daerah Kota Setar dan Pokok Sena.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya memaklumkan, 24 kiosk telah diperiksa secara menyeluruh.

“Kompaun berkenaan dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. Ia termasuk 22 kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3, Pelesenan Penjaja dan Gerai (MBAS) 2010 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.

“Manakala dua lagi kompaun dikenakan di bawah UUK 7(1), UUK Iklan (MBAS) 2010 atas kesalahan mempamerkan iklan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, sebanyak 22 notis turut dikeluarkan di bawah UUK 23, Pelesenan Penjaja dan Gerai (MBAS) 2010 terhadap peniaga yang dikesan meninggalkan peralatan perniagaan di tempat awam selepas tamat waktu operasi perniagaan.

Beliau menegaskan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan terus dijalankan secara berkala bagi memastikan semua pengusaha premis serta kiosk mematuhi undang-undang yang ditetapkan demi menjaga kebersihan, keselamatan, dan ketenteraman awam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.