
IPOH, 3 Jun – Kemajuan sesebuah bandar tidak sepatutnya diukur berdasarkan pembangunan fizikal semata-mata. Sebaliknya, seni, budaya dan hubungan sesama masyarakat perlu bergerak seiring bagi membentuk komuniti yang lebih harmoni, inklusif dan mempunyai identiti tersendiri.
- Kerajaan kekal komited memperkukuh pembangunan infrastruktur awam termasuk penyediaan rumah mampu milik serta penambahbaikan kemudahan rakyat.
- Bandar moden boleh kehilangan roh jika aspek kemanusiaan, seni dan semangat kebersamaan dipinggirkan.
- Program seni dan budaya serta inisiatif komuniti seperti konsert menyatukan rakyat pelbagai kaum, memupuk persefahaman, hormat dan perpaduan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kerajaan kekal komited memperkukuh pembangunan infrastruktur awam termasuk penyediaan rumah mampu milik serta penambahbaikan kemudahan rakyat.
Namun katanya, bandar yang moden dan pesat membangun boleh kehilangan roh sekiranya aspek kemanusiaan, seni dan semangat kebersamaan dipinggirkan.
“Justeru, seni, budaya dan inisiatif komuniti seperti konsert pada malam ini amat penting kerana ia membantu menjadikan bandar sebagai tempat yang benar-benar memberi rasa kebersamaan dan pemilikan kepada masyarakat.
“Keharmonian yang kita rasai pada malam ini tidak seharusnya terhenti di dalam dewan ini sahaja. Sebaliknya, ia perlu dijadikan prinsip dan panduan utama dalam membentuk masa depan negara kita”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan MADANI Philharmonic Musical Concert 2026: A Tune of Friendship and Unity in Harmony di Auditorium RTM, malam tadi.
Tambahnya, program berteraskan seni dan budaya mampu menjadi platform menyatukan rakyat pelbagai kaum,
selain memupuk persefahaman, rasa hormat dan semangat perpaduan dalam masyarakat.