
KUALA LUMPUR, 10 Mei -Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) mengurangkan kadar keuntungan bagi pembiayaan bawah skim Prosper Grow kepada 3.5 peratus setahun dalam usaha membantu usahawan Bumiputera menghadapi tekanan kos operasi.
- Kadar disemak semula akan berkuat kuasa untuk semua kelulusan pembiayaan mulai 1 Jan 2026, termasuk pinjaman yang diluluskan tahun ini.
- Langkah memberi manfaat kepada usahawan Bumiputera, terutamanya pemohon pembiayaan antara RM100,000 hingga RM1 juta.
- Inisiatif bertujuan mengurangkan tekanan kos operasi, mengekalkan daya saing dan menyokong pertumbuhan jangka panjang seiring saranan kerajaan MADANI.
Kadar yang disemak semula daripada 5.0 hingga 6.75 peratus sebelum ini akan berkuat kuasa untuk semua kelulusan pembiayaan mulai 1 Jan 2026 termasuk pinjaman yang telah diluluskan tahun ini.
”Langkah itu akan memberi manfaat kepada usahawan Bumiputera, khususnya yang memerlukan pembiayaan antara RM100,000 hingga RM1 juta.
”Kadar yang lebih rendah membolehkan usahawan mengembangkan perniagaan dan mengekalkan operasi dalam persekitaran kos input, logistik serta gangguan rantaian bekalan global yang berterusan,” jelas PUNB dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata pelarasan itu mencerminkan pendekatan yang proaktif dan berpandangan jauh bagi memastikan perniagaan usahawan Bumiputera kekal berdaya saing dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.
“Tekanan kos dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, adalah realiti yang perlu ditangani. Penurunan kadar kepada 3.5 peratus bukan sekadar insentif kewangan, malah langkah penting untuk memastikan usahawan Bumiputera kekal berdaya tahan, kompetitif dan berkemampuan untuk pertumbuhan jangka panjang,” katanya.
Tambahnya, inisiatif itu sejajar dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan usahawan mampu bertahan serta agenda kerajaan yang lebih meluas bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan Bumiputera yang inklusif dan mampan di bawah rangka kerja MADANI.