
PARIS, 3 Jun- Bintang muda Republik Czech, Jakub Mensik menampilkan aksi cemerlang menewaskan pemain muda Brazil, Joao Fonseca sekali gus mara ke separuh akhir Terbuka Perancis di Paris.
- Mensik akan berdepan pilihan kedua Alexander Zverev dalam separuh akhir Terbuka Perancis.
- Mensik menjadi pemain lelaki termuda Republik Czech mara ke separuh akhir Grand Slam sejak Tomas Berdych pada Wimbledon 2017.
- Fonseca sebelum itu menewaskan pemain utama termasuk Novak Djokovic dan menyelamatkan enam mata kemenangan sebelum tewas di tie-break.
Pemain berusia 20 tahun itu mencatat kemenangan 6-4, 6-3, 7-6 (7/3) dalam aksi pusingan suku akhir di gelanggang Philippe Chatrier untuk meneruskan prestasi terbaiknya di Grand Slam.
Mensik, pemain ranking ke-27 dunia akan berdepan pilihan kedua dan pilihan utama kejohanan, Alexander Zverev pada perlawanan separuh akhir.
Kemenangan itu menyaksikan Mensik menjadi pemain lelaki termuda dari Republik Czech yang mara ke separuh akhir Grand Slam serta pertama sejak Tomas Berdych di Wimbledon 2017.
“Ini antara perlawanan terbaik saya. Ia memang sukar, dan di penghujungnya kedua-dua kami bermain pada tahap yang sangat tinggi,” katanya.
Fonseca sebelum itu mencuri tumpuan apabila menewaskan beberapa pemain utama dunia termasuk Novak Djokovic untuk mara ke suku akhir Grand Slam buat kali pertama dalam kariernya.
Perlawanan tersebut turut menyaksikan Fonseca menyelamatkan enam mata kemenangan sebelum Mensik menamatkan perlawanan pada percubaan ketujuhnya di tie-break. -AFP