
KUALA LUMPUR, 3 Jun- Ketua Jurulatih Selangor Red Giants (SRG), Michael Bocado yang lebih dikenali sebagai Arcadia meluahkan rasa lega susulan kepulangan pemain EXP Mark Genzon Sojero Rusiana atau Kramm, menjelang peringkat playoff Mobile Legends: Liga Profesional Bang Bang Malaysia (MPL MY) musim ke-17.
- Kepulangan Kramm kembalikan kestabilan pasukan dan beri suntikan semangat menjelang playoff.
- Kramm sebelum ini digantung tujuh perlawanan, dikurangkan kepada lima selepas rayuan, dan didenda USD2,000.
- SRG tekad pertahankan kejuaraan MPL MY musim ke-17 serta berusaha merebut tiket automatik ke Piala Pertengahan Musim di Paris.
Arcadia berkata kepulangan Kramm dijangka bukan sahaja mengembalikan kestabilan kepada prestasi keseluruhan pasukan, malah memberikan suntikan semangat tepat pada masanya ketika SRG bersiap sedia mempertahankan gelaran yang dimenangi musim lepas.
“Saya fikir kehadiran Kramm dalam playoff benar-benar memberikan dorongan besar kepada kami kerana pada asalnya ini masih barisan utama kami dan dia ialah pemain asal EXP.
“Jadi, ia pasti memberikan keyakinan yang tinggi untuk menghadapi peringkat itu dan ia juga memberikan banyak kestabilan,” katanya ketika ditemui pada Selasa.
Sebelum ini, Kramm dikenakan penggantungan tujuh perlawanan selepas didapati bersalah melakukan pelanggaran serius di bawah buku peraturan dan kod etika MPL MY.
Selain itu, beliau turut didenda USD2,000 (RM7,839) atas kesalahan berkenaan.
Bagaimanapun, penggantungan itu kemudiannya dikurangkan kepada lima perlawanan selepas penganjur menerima rayuan yang dikemukakan oleh SRG.
Sementara itu, Arcadia ketika mengulas mengenai prestasi SRG sepanjang musim liga mengakui ia bukan keputusan yang diinginkannya daripada pasukan selepas gagal mengekalkan rekod tanpa kalah.
Beliau bagaimanapun berkata para pemain bertekad untuk mempamerkan prestasi lebih mantap pada playoff dalam usaha menjulang gelaran musim ke-17 serta memastikan slot automatik ke Piala Pertengahan Musim di Paris pada Julai ini.
“Sasaran utama kami adalah untuk memastikan kami memperoleh tiket ke Paris dan merangkul trofi (MPL MY) kerana kami benar-benar mahu mempertahankan gelaran ini musim ini. Saya rasa musim ini sangat istimewa dan penuh kenangan buat kami,” katanya. -BERNAMA