
KUALA LUMPUR, 3 Jun- Sukan throwball mempunyai potensi besar sebagai sukan baharu yang berupaya memperluas penyertaan golongan orang kurang upaya (OKU) dalam sukan kompetitif selain membuka peluang negara meraih kejayaan pada pentas antarabangsa.
- Malaysia menubuhkan pasukan lelaki dan wanita untuk Kejohanan Para Throwball Asia dan merancang menghantar pasukan ke India untuk pengalaman pertandingan.
- Pembangunan para throwball selari dengan matlamat MPM menyediakan lebih banyak pilihan sukan bagi komuniti OKU untuk pemulihan dan gaya hidup sihat.
- Sukan masih pada peringkat awal, 22 atlet dipilih (11 lelaki, 11 wanita). Jika dimasukkan ke Sukan Komanwel, peluang pingat cerah.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata sukan itu kini sedang berkembang di arena antarabangsa, dan berpotensi dipertandingkan pada temasya Sukan Komanwel pada masa hadapan sebelum membuka laluan ke platform lebih besar termasuk Sukan Paralimpik.
Beliau berkata Malaysia telah menubuhkan pasukan lelaki dan wanita bagi menghadapi kejohanan antarabangsa selepas berakhirnya Kejohanan Para Throwball Asia, yang diadakan bermula semalam hingga 5 Jun di ibu kota.
“Ini ialah sukan yang baharu dan saya percaya pasukan yang dibentuk mampu membawa kejutan. Selepas kejohanan di Malaysia, kita juga melihat peluang untuk menghantar pasukan ke India bagi menimba lebih banyak pengalaman pertandingan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Para Throwball Asia Kedua 2026 di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, di sini hari ini.
Megat D Shahriman berkata pembangunan para throwball juga selari dengan matlamat MPM untuk menyediakan lebih banyak pilihan sukan kepada komuniti OKU di negara ini.
Beliau berkata sukan itu boleh menjadi alternatif kepada atlet yang mungkin tidak sesuai atau tidak memenuhi klasifikasi bagi sukan para lain seperti para powerlifting, bola sepak amputee (amputasi) atau bola tampar duduk.
“Kita mahu lebih ramai individu OKU menyertai sukan. Tidak semestinya mereka boleh bermain semua jenis sukan, tetapi mungkin mereka boleh bermain throwball. Objektif kita adalah memastikan lebih ramai golongan OKU dapat mengamalkan gaya hidup sihat dan menjalani proses rehabilitasi melalui sukan,” katanya.
Mengulas mengenai kontinjen negara Kejohanan Para Throwball Asia, beliau berkata 22 atlet terdiri daripada 11 lelaki dan 11 wanita telah dipilih untuk mewakili negara selepas proses pemilihan yang melibatkan hampir 50 peserta.
“Sukan ini masih sangat baharu dan berada pada peringkat awal pembangunan. Jika ia dipertandingkan di Sukan Komanwel, peluang kita untuk meraih pingat adalah cerah kerana banyak negara masih dalam fasa pembangunan sukan ini,” katanya. -BERNAMA