
KUALA LUMPUR, 3 Jun- Gandingan baharu beregu campuran profesional negara Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing akhirnya menamatkan kemarau kemenangan pada pusingan pertama selepas mara ke pusingan kedua Terbuka Indonesia di Istora Senayan, Jakarta hari ini.
- Pang Ron-Lai Pei Jing menamatkan kemarau kemenangan, menang 21-17, 21-9 dalam 31 minit untuk mara ke pusingan kedua Terbuka Indonesia.
- Kemenangan ini menandakan kebangkitan selepas penyingkiran berturut-turut pusingan pertama di Malaysia Masters dan Terbuka Singapura.
- Pusingan kedua menyaksikan mereka berdepan ujian sukar menentang pasangan nombor tiga dunia dari Thailand.
- Cabaran Malaysia diteruskan; Leong Jun Hao dan beregu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin turut mara pusingan kedua.
Pasangan berkenaan mempamerkan aksi meyakinkan untuk menewaskan wakil tuan rumah Marwan Faza-Aisyah Salsabila Putri Pranata 21-17, 21-9 dalam tempoh hanya 31 minit.
Kemenangan itu menandakan kebangkitan yang sangat dinantikan oleh Pang Ron-Pei Jing yang sebelum ini mengalami penyingkiran berturut-turut pada pusingan pertama Malaysia Masters dan Terbuka Singapura bulan lepas.
Pada pusingan kedua kejohanan berprestij Super 1000 itu, Pang Ron-Pei Jing bakal berdepan ujian getir menentang pasangan nombor tiga dunia dari Thailand Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran.
Pasangan Thailand itu menempah slot ke pusingan 16 terbaik selepas mengetepikan wakil Jepun Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara 23-21, 19-21, 21-19 pada pusingan pertama.
Cabaran Malaysia akan diteruskan dengan beberapa lagi wakil negara yang dijadualkan memulakan kempen masing-masing, termasuk beregu lelaki utama Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta gandingan beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah lewat hari ini.
Semalam, perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao mara ke pusingan kedua selepas mengejutkan pemain nombor 11 dunia dari Jepun Kodai Naraoka 21-17, 21-17 manakala pasangan beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut melangkah ke pusingan seterusnya selepas menewaskan wakil Singapura Wesley Koh Eng Keat-Junsuke Kubo 21-17, 21-16. -BERNAMA