
- Akses eksklusif rakaman video dan data Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia serta MFL Challenge Cup melalui platform Hudl Wyscout.
- Platform Hudl menyediakan analisis perlawanan profesional membantu kelab dan pihak berkepentingan memantau serta mempertingkat prestasi pemain.
- Membantu pengurusan skuad kebangsaan menilai pemain sebelum panggilan, memudahkan pemilihan berasaskan data prestasi.
- Paparan di platform pemantauan global meningkatkan keterlihatan pemain tempatan bagi pencari bakat antarabangsa dan memperkukuh daya saing.
MFL dalam kenyataan hari ini memaklumkan, perjanjian hak pemantauan bakat (scouting rights) yang bermula sejak musim 2023 itu diperbaharui bagi membolehkan rakaman video dan data pertandingan utama bola sepak Malaysia terus diakses menerusi platform Hudl Wyscout, yang digunakan secara meluas oleh kelab, pencari bakat dan organisasi bola sepak di seluruh dunia.
Perjanjian eksklusif itu merangkumi akses kepada rakaman video dan data pertandingan Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia serta MFL Challenge Cup.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata platform Hudl telah membantu kelab dan pihak berkepentingan bola sepak tempatan mendapatkan akses kepada analisis perlawanan, rakaman video serta data prestasi secara lebih efektif dan profesional.
“Sejak kerjasama ini dimeterai, platform Hudl telah memainkan peranan penting dalam membantu kelab-kelab dan pihak berkepentingan bola sepak tempatan untuk mendapatkan akses kepada analisis perlawanan, rakaman video serta data prestasi secara lebih efektif dan profesional.
“Ini termasuklah untuk membantu pengurusan skuad Harimau Malaya dalam menilai prestasi pemain-pemain yang telah beraksi bersama kelab masing-masing sebelum mereka dipanggil menyertai skuad kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata pembaharuan perjanjian itu mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkasakan ekosistem bola sepak Malaysia selaras dengan perkembangan teknologi sukan global.
Kerjasama berkenaan turut memberi manfaat kepada kelab-kelab Liga Malaysia dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melalui akses yang lebih luas kepada analisis data dan video bagi membantu meningkatkan prestasi pasukan, memperkukuh pembangunan pemain serta mempertingkatkan proses pencarian bakat.
Sementara itu, Pengurus Perkongsian Strategik Hudl, Mateo Bourrut Lacouture berkata perjanjian tersebut membolehkan bola sepak Malaysia dipaparkan dalam platform pemantauan bakat dan analisis yang digunakan secara meluas oleh komuniti bola sepak global.
“Perjanjian ini membolehkan kami mengetengahkan bola sepak Malaysia di platform pemantauan bakat dan analisis terkemuka dunia, sekali gus membantu kelab-kelab dan liga dalam membangunkan bakat mengikut standard tertinggi,” katanya.
Pendedahan yang lebih meluas menerusi platform berkenaan dijangka membantu meningkatkan keterlihatan pemain tempatan dalam kalangan pencari bakat antarabangsa selain menyokong usaha memperkukuh daya saing bola sepak Malaysia di peringkat lebih tinggi.