SUKMA 2026: Kerajaan bantu Selangor melalui kemudahan fasiliti, bukan peruntukan tunai

Dr Mohammed Taufiq Johari/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak menyalurkan peruntukan kewangan secara langsung kepada Selangor selaku tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, sebaliknya bantuan diberikan dalam bentuk kemudahan fasiliti di bawah kementerian itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kabinet memberi persetujuan dan keyakinan kepada Jawatankuasa Pelaksana SUKMA serta penganjur negeri mengendalikan SUKMA 2026.
  • Bantuan disalurkan melalui kemudahan dan keringanan penggunaan fasiliti Persekutuan, termasuk beberapa tempat dan kemudahan percuma.
  • Pendekatan ini sejajar dengan langkah penjimatan negara dan pengurusan kewangan berhemah bagi mengurangkan kos penganjuran.
  • Mesyuarat membincangkan pengurangan kos ujian antidoping ADAMAS; Selangor merancang kurangkan kos dari RM100 juta ke sekitar RM40 hingga RM50 juta.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata keputusan itu juga telah dipersetujui dalam Mesyuarat Kabinet sebelum ini, dengan keyakinan diberikan buat Jawatankuasa Pelaksana SUKMA ke-22 dan Para SUKMA Selangor 2026 untuk mengendalikan temasya berkenaan.

Beliau berkata pendekatan itu juga selaras dengan usaha kerajaan melaksanakan langkah penjimatan serta pengurusan kewangan secara berhemah.

“Sebenarnya keputusan ini telah dibuat lebih awal di peringkat Kabinet bahawa Persekutuan tidak menyalurkan bantuan atau sebarang dana, jadi kos itu perlu ditanggung oleh negeri terlibat dan perkara ini telah dipersetujui sebelum ini.

“Namun, kita tetap memberikan bantuan dalam aspek lain misalnya Selangor boleh menggunakan fasiliti milik Persekutuan dan kita akan memberi keringanan dari segi penggunaan fasiliti tersebut. Ada beberapa fasiliti diberikan secara percuma termasuk tempat dan kemudahan tertentu,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Dr Mohammed Taufiq berkata antara bantuan lain yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Tertinggi SUKMA 2026 ialah melibatkan kos ujian antidoping yang ditetapkan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS).

“Itu mungkin akan kita kurangkan bagi memberi penjimatan, sekali gus mengurangkan beban tuan rumah.

“Bagi saya, pihak Persekutuan sentiasa memberikan sumbangan dan bantuan, cuma dalam bentuk berbeza dan ini sudah pasti membantu menjimatkan kos penganjuran SUKMA itu sendiri,” katanya.

Semalam, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi memaklumkan kerajaan negeri itu akan melaksanakan langkah penjimatan dengan mengurangkan hampir separuh daripada kos asal penganjuran iaitu RM100 juta sebelum ini kepada kira-kira RM40 juta hingga RM50 juta.- BERNAMA