
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Lebih 30 atlet Malaysia menyertai empat jenis sukan dalam pertandingan Sukan Nomad Dunia 2026 di Bishkek, Kyrgyzstan pada 31 Ogos hingga 6 September depan.
- Sukan Nomad Dunia menghimpunkan sukan tradisional, melibatkan puluhan jenis dan disertai lebih 100 negara.
- Malaysia menyertai acara seperti memanah, memanah berkuda, strong man dan maraton kuda, memperkukuh penyertaan antarabangsa.
- Inisiatif JEQMA bersama badan sukan memperkukuh pembangunan sukan warisan serta membuka jaringan kerjasama dalam sukan, pelancongan dan budaya.
Ketua Atlet Kontinjen Malaysia, Muhammad Abdullah Al-Amin berkata, ia merupakan sukan yang diperkenalkan kerajaan Kyrgyzstan yang melibatkan 43 jenis sukan tradisional.
“Sukan Nomad Dunia ini merupakan satu temasya sukan yang menghimpunkan pelbagai sukan tradisional masyarakat setempat.
“Temasya ini melibatkan puluhan jenis sukan dan disertai oleh lebih 100 negara. Malaysia juga antara negara yang akan mengambil bahagian dalam Sukan Nomad Dunia,” katanya ketika ditemui RTM dalam sebuah majlis di ibu negara.
Majlis itu turut menekankan objektif pelaksanaannya yang bertujuan memperkasa penyertaan Malaysia dalam sukan warisan serta Sukan Nomad Dunia, di samping membuka jaringan kerjasama lebih luas dalam kalangan penggiat industri sukan, pelancongan dan budaya.
Penglibatan atlet Malaysia dalam temasya berkenaan merupakan inisiatif gabungan antara Jawi Equestrian Martial Arts (JEQMA) serta wakil-wakil badan sukan yang aktif di negara ini, sebagai usaha memperkukuh penyertaan dan pembangunan sukan di peringkat antarabangsa.
Sementara itu Timbalan chef-de-mission Kontinjen Malaysia, Azham Ishak turut memaklumkan bahawa Malaysia akan menceburi empat jenis sukan daripada 43 yang dipertadingkan antaranya memanah, memanah berkuda, ‘strong man’, serta maraton kuda
“Kami meletakkan harapan yang tinggi kepada atlet Malaysia, namun terdapat beberapa sukan yang merupakan sukan baharu buat mereka, sukan berkuda terutamanya, namun, kami jangka Malaysia akan mendapat persaingan yang baik nanti,” menurut Azham.