
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Penstrukturan semula Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) mula menunjukkan perkembangan positif hasil kerjasama teknikal antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
- Skuad bawah 16 tahun muncul naib juara Kejohanan ASEAN Bawah 17 Tahun 2026 di Indonesia.
- Walaupun tewas kepada Vietnam, pasukan berjaya mengatasi beberapa negara seperti Laos.
- Semua jurulatih bawah APM dilantik dan FAM menstruktur semula pengurusan serta kejurulatihan NFDP.
- Pengurusan kewangan akan diperhalusi supaya peruntukan kerajaan dimanfaatkan optimum untuk pembangunan jurulatih, prestasi atlet dan keperluan NFDP.
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, petanda awal keberkesanan perubahan tersebut dapat dilihat menerusi pencapaian skuad bawah 16 tahun negara yang muncul naib juara Kejohanan ASEAN Bawah 17 Tahun 2026 di Indonesia, April lalu.
“Walaupun kita tewas kepada Vietnam, kita berjaya mengatasi beberapa negara lain seperti Laos dan sebagainya.
“Ini merupakan antara perubahan kecil yang sedang kita lakukan bagi memastikan pemain-pemain NFDP dapat diserap untuk menghadapi cabaran dan pertandingan yang lebih besar pada masa akan datang.
“Kita juga telah melantik semua jurulatih bawah APM, manakala pihak FAM turut melakukan penstrukturan semula dari segi pengurusan serta kejurulatihan di NFDP,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kem Fasa 1 Temasya Sukan Para ASEAN 2027 di ibu negara hari ini.
Dalam pada itu, MSN dan FAM turut melakukan penstrukturan semula membabitkan aspek pengurusan serta pelantikan jurulatih bawah Akademi Mokhtar Dahari (AMD).
Jefri turut menjelaskan bahawa pengurusan kewangan program akan terus diperhalusi supaya peruntukan kerajaan dapat dimanfaatkan secara optimum meliputi aspek pengurusan, pembangunan jurulatih, prestasi atlet serta keperluan berkaitan pembangunan bola sepak negara.