Kem persiapan atlet para ASEAN diperkukuh melalui latihan mental, fizikal

Jefri Ngadirin

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) menganjurkan kem persediaan atlet para sebagai persiapan awal menghadapi temasya Sukan Para ASEAN tahun depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kem dijalankan dalam tiga fasa; fasa kedua Januari 2027, fasa ketiga Julai selepas pengumuman senarai akhir kontinjen.
  • Tumpuan utama pada persediaan mental dan fizikal; latihan harian diteruskan untuk memastikan atlet bersedia.
  • Kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia dan Akademi Kenegaraan memperkukuh ketahanan mental, kenegaraan serta pertahanan diri atlet.
  • Pengurusan atlet, kejurulatihan, prestasi dan kewangan diperkemas bagi memastikan kebajikan dan prestasi kontinjen terpelihara.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, kem tersebut dilaksanakan dalam tiga fasa dengan fasa pertama bermula hari ini, manakala fasa kedua dijadualkan berlangsung pada Januari 2027 dan fasa ketiga pada Julai selepas senarai akhir kontinjen diumumkan.

“Paling penting, kita mahu mereka bersedia dari segi mental dan fizikal. Latihan harian memang akan diteruskan seperti biasa, namun semua persiapan ini adalah bagi memastikan mereka benar-benar bersedia.

“Pada masa sama, kita mahu mereka sedar bahawa cabaran untuk menghadapi temasya seperti Sukan Para ASEAN sebenarnya sudah pun bermula dari sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Kem Fasa 1 Temasya Sukan Para ASEAN 2027 di ibu negara hari ini.

KBS turut mendapat kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) bagi membantu memperkukuh aspek ketahanan mental, kenegaraan serta pertahanan diri atlet.

Menerusi modul yang dibangunkan, tumpuan akan diberikan kepada aspek persediaan mental dan fizikal atlet bagi memastikan mereka lebih bersedia menghadapi cabaran sebenar di temasya sukan berkenaan.

Selain meneruskan latihan harian sedia ada, kem tersebut turut bertujuan meningkatkan motivasi serta menyemai kesedaran dalam kalangan atlet bahawa cabaran menuju Sukan Para ASEAN sebenarnya telah bermula lebih awal.

Dalam pada itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjelaskan setiap aspek termasuk pengurusan atlet, kejurulatihan, prestasi serta kewangan akan disusun dan diperkemas sebaik mungkin bagi memastikan kebajikan serta keperluan atlet terus terpelihara.

Kementerian turut berharap program berkenaan dapat membantu kontinjen negara mencapai prestasi terbaik pada temasya sukan tersebut.