Hakim Danish akui bergelut di Le Mans

Hakim Danish menamatkan perlumbaan GP Perancis di kedudukan ke-10, – Foto FB Hakim Danish

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Pelumba Moto3 negara Muhammad Hakim Danish Ramli mengakui prestasinya di Litar Le Mans dalam perlumbaan Grand Prix (GP) Perancis, semalam bukanlah yang terbaik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cuaca dan litar basah menyukarkan untuk mencatatkan keputusan perlumbaan yang lebih baik.
  • Saya bermula baik tetapi litar licin mengehadkan kawalan dan respon jentera.
  • Tidak memecut sehingga maksimum kerana risau akan terjatuh dan hilang mata.
  • Berjaya mengharungi 13 pusingan, meraih enam mata, ketinggalan 21.487 saat di belakang juara.

Menurutnya, keadaan litar yang basah menyukar untuk mencatatkan keputusan perlumbaan lebih baik.

Hakim Danish akui litar basah menyukar untuk mencatat keputusan lebih baik. – Foto FB Hakim Danish

“Perlumbaan semalam memang agak mencabar untuk saya. Memang saya mempunyai rekod yang baik dilitar ini tahun lepas, tetapi berlumba dengan jentera berbeza dan litar yang agak licin membataskan prestasi saya.

“Pada awalnya memang saya bermula dengan baik, tapi selepas beberapa ketika, saya rasakan litar sangat licin dan respon saya dengan jentera agak terhad.

“Jika saya tekan hingga maksimum dengan keadaan ini, saya pasti akan jatuh dan tidak dapat membawa pulang sebarang mata,” kongsinya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Hakim Danish berjaya mengharungi 13 pusingan dengan ketinggalan 21.487 saat di belakang juara Maximo Quiles. – Foto FB Hakim Danish

Semalam, Hakim Danish menamatkan perlumbaan GP Perancis di kedudukan ke-10, sekali gus meraih enam mata berharga dalam kempen musim ini.

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu berjaya mengharungi perlumbaan 13 pusingan di Litar Le Mans yang dibasahi hujan dengan ketinggalan 21.487 saat (s) di belakang juara Maximo Quiles daripada pasukan CFMOTO Gaviota Aspar.