Angka korban bangunan hotel runtuh meningkat kepada 20 orang

Foto ihsan FB Angeles City Information Office

LUZON, 2 Jun – Angka korban susulan sebuah bangunan hotel yang sedang dalam pembinaan runtuh di Angeles City, Wilayah Luzon, Filipina, meningkat kepada 20 orang selepas pasukan penyelamat menemukan tujuh lagi mayat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Majoriti mangsa merupakan pekerja binaan.
  • Seramai 70 pekerja dilaporkan berada di tapak, namun ramai pulang sempena cuti hujung minggu.
  • Bangunan sembilan tingkat yang sedang dibina runtuh pada 24 Mei di Angeles City.
  • Operasi mencari dan menyelamat besar-besaran melibatkan bomba, pengurusan bencana dan pasukan jurutera; jumlah mangsa belum muktamad.

Menurut laporan media tempatan ABS-CBN, tujuh mayat berkenaan ditemukan sejak Isnin sehingga kepada awal pagi Selasa.

Menurut pihak berkuasa tempatan, majoriti mangsa merupakan pekerja binaan.

Ketika kejadian, seramai 70 pekerja dilaporkan berada di tapak projek itu, namun sebahagian besar daripada mereka telah pulang ke rumah sempena cuti hujung minggu.

Biro Perlindungan Kebakaran di wilayah Luzon Tengah bersama kerajaan tempatan Angeles City sebelum ini memaklumkan bahawa jumlah mangsa yang terlibat masih belum dapat dipastikan secara muktamad memandangkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih berjalan.

Struktur bangunan sembilan tingkat yang sedang dalam pembinaan itu dilaporkan runtuh pada 24 Mei lepas di Angeles City.

Insiden itu telah mencetuskan operasi menyelamat secara besar-besaran yang melibatkan pelbagai agensi termasuk anggota bomba, pegawai pengurusan bencana dan pasukan jurutera. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.