
TOKYO, 2 Jun – Ribut tropika Jangmi melanda barat daya Jepun, menyebabkan sembilan orang cedera, puluhan ribu rumah terputus bekalan elektrik dan ratusan penerbangan dibatalkan.
- Kerajaan menjangka gangguan pengangkutan awam di Tokyo dan kawasan sekitarnya apabila ribut menghampiri.
- Penduduk di kawasan berisiko diminta mengikuti arahan pemindahan pihak berkuasa dan berpindah lebih awal jika perlu.
- Agensi Meteorologi memberi amaran ombak besar, tanah runtuh dan banjir ketika Jangmi bergerak ke utara selepas melanda Okinawa.
Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Minoru Kihara berkata, beberapa objek kelihatan diterbangkan angin lalu melanggar kenderaan, selain beberapa individu terjatuh akibat tiupan angin yang kuat di Okinawa.
Kihara turut memberi amaran bahawa perkhidmatan pengangkutan awam di Tokyo dan kawasan sekitarnya mungkin mengalami gangguan pada Rabu apabila ribut itu menghampiri kawasan berkenaan.
“Penduduk di kawasan yang dijangka terjejas diminta sentiasa mengikuti maklumat pemindahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan dan berpindah lebih awal jika perlu,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya terus berwaspada dan mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi diri serta keluarga.
Agensi Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran mengenai ombak besar, tanah runtuh dan banjir ketika Jangmi bergerak ke arah utara selepas membadai pulau subtropika Okinawa pada Isnin.
Jangmi sebelum ini dikategorikan sebagai taufan, namun telah diturunkan taraf kepada ribut tropika.
Di bandar Miyazaki di pulau Kyushu, kira-kira 390,000 penduduk diminta berpindah sebagai langkah berjaga-jaga berikutan ancaman cuaca buruk.
Rakaman yang disiarkan media tempatan menunjukkan hujan lebat dan angin kencang melanda Okinawa sehingga menumbangkan sebatang pokok setinggi 10 meter.
Pagi ini, sekitar 17,000 isi rumah di Okinawa dan lebih 30,000 isi rumah di wilayah Kagoshima dilaporkan terputus bekalan elektrik.
Dua syarikat penerbangan terbesar Jepun, All Nippon Airways (ANA) dan Japan Airlines (JAL), telah membatalkan sejumlah 600 penerbangan yang dijadualkan antara Isnin hingga Rabu berikutan cuaca buruk yang dibawa oleh Jangmi. – AFP