
SAUDARA PENGARANG
- Bantuan tunai penting namun tidak mencukupi; perlu disertai strategi jangka panjang seperti latihan, peluang pekerjaan, pendidikan dan akses kesihatan.
- Sistem bantuan berpecah antara agensi, berlaku pertindihan, data tidak diselaraskan dan pemantauan keberkesanan lemah.
- Penyasaran kurang tepat; kategori semasa mengabaikan tanggungan, kos ikut lokasi, warga emas dan OKU.
- Reformasi diperlukan: bina perlindungan sosial bersepadu dan berasaskan data dengan peranan pelengkap sektor swasta dan NGO.
Malaysia hari ini semakin bergantung kepada bantuan tunai sebagai mekanisme utama membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.
Daripada Bantuan Prihatin Nasional (BPN) ketika pandemik COVID-19, sehingga kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), bantuan tunai telah menjadi instrumen penting dalam sistem perlindungan sosial negara.
Pada 2024 oleh Khazanah Research Institute (KRI) dan Yayasan Hasanah (YH) bertajuk Bantuan Tunai: Dapatan Antarabangsa dan Pengalaman Malaysia menunjukkan bahawa bantuan tunai bukan lagi sekadar bantuan kebajikan sementara, tetapi telah menjadi dasar ekonomi dan sosial yang besar kesannya kepada rakyat dan negara.
Pada tahun 2024, kerajaan memperuntukkan sekitar RM10 bilion untuk program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sahaja. Jumlah tersebut meningkat kepada sekitar RM13 bilion pada tahun 2025 apabila melibatkan sekali program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Pada tahun 2026 pula, peruntukan bantuan tunai negara terus meningkat kepada sekitar RM15 bilion, sekali gus menjadikannya antara peruntukan bantuan tunai terbesar dalam sejarah Malaysia.
Peningkatan ini menunjukkan bahawa bantuan tunai kini bukan lagi program sampingan, tetapi telah menjadi instrumen utama kerajaan dalam membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi.
Di seluruh dunia, bantuan tunai semakin digunakan kerana ia lebih cepat, fleksibel dan mudah disalurkan, khususnya ketika krisis. Bantuan tunai membantu mengurangkan kemiskinan, meningkatkan pendidikan dan kesihatan, menstabilkan kewangan isi rumah serta merangsang ekonomi tempatan.
Ketika pandemik COVID-19 misalnya, banyak negara menggunakan bantuan tunai sebagai “penyelamat segera” kepada rakyat yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan. Malaysia juga tidak terkecuali.
Namun, kertas perbincangan tersebut turut membawa satu mesej penting yang wajar diberi perhatian serius. Bantuan tunai memang penting, tetapi bantuan tunai sahaja tidak cukup untuk menyelesaikan masalah kemiskinan secara menyeluruh.
Antara dapatan utama kertas perbincangan ialah sistem bantuan tunai Malaysia masih dilaksanakan secara berasingan oleh pelbagai agensi tanpa koordinasi yang kukuh.
Kajian mendapati terdapat 72 program bantuan tunai kerajaan persekutuan dan sekitar 260 program bantuan tunai aktif antara tahun 2018 hingga 2022.
Masalahnya bukan sekadar jumlah program yang banyak. Isu lebih besar ialah pertindihan fungsi, pelaksanaan oleh pelbagai agensi secara berasingan, data yang tidak diselaraskan, serta pemantauan keberkesanan yang lemah.
Dalam banyak keadaan, kejayaan program diukur berdasarkan jumlah penerima dan jumlah wang dibelanjakan, bukannya impak sebenar terhadap kehidupan rakyat seperti peningkatan pendapatan, kesihatan, pendidikan atau kesejahteraan keluarga.
Kertas perbincangan ini juga mengkritik pendekatan bantuan yang terlalu bersifat reaktif. Banyak program diwujudkan secara “one-off” ketika berlaku krisis atau tekanan ekonomi. Ini menunjukkan sistem perlindungan sosial negara masih belum cukup kukuh untuk berfungsi secara sistematik dan mampan.
Selain itu, kaedah penyasaran bantuan juga mempunyai kelemahan. Banyak bantuan menggunakan kategori B40 atau garis kemiskinan makanan tanpa mengambil kira realiti sebenar kehidupan rakyat seperti jumlah tanggungan, kos sara hidup mengikut lokasi, warga emas, OKU dan keadaan isi rumah yang berbeza-beza.
Akibatnya, terdapat isi rumah rentan yang sebenarnya memerlukan bantuan tetapi tercicir daripada sistem.
Kaedah yang lebih wajar adalah menggunakan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) yang merujuk kepada tahap perbelanjaan minimum yang diperlukan untuk membolehkan seseorang hidup secara wajar dan bermaruah dalam masyarakat moden
Apa yang lebih penting, kertas perbincangan ini menegaskan bahawa bantuan tunai tidak boleh sekadar menjadi pendekatan “beri duit dan selesai”.
Jika bantuan tidak disertai strategi jangka panjang seperti latihan kemahiran, peluang pekerjaan, pendidikan dan akses kesihatan, penerima mungkin terus bergantung kepada bantuan atau kembali miskin selepas bantuan tamat.
Di sinilah perlunya reformasi perlindungan sosial negara. Kerajaan perlu membina sistem perlindungan sosial yang lebih tersusun, bersepadu dan berasaskan data yang tepat. Sektor swasta dan NGO pula boleh memainkan peranan sebagai pelengkap kepada usaha kerajaan dengan menyediakan bantuan yang lebih khusus dan bersasar.
Hakikatnya, bantuan tunai bukan sekadar soal kebajikan. Ia adalah instrumen dasar ekonomi dan sosial negara. Jika dirancang dengan baik, bantuan tunai mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memperkukuh mobiliti sosial.
Tetapi jika sistemnya lemah, bantuan tunai hanya menjadi penyelesaian sementara yang tidak menyelesaikan akar sebenar masalah kemiskinan dan ketidaksamaan sosial.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Ahmad Yani Ismail
Pensyarah
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
E-mel: ahmadyani@uis.edu.my