Selat Hormuz akan diurus bersama Oman – Iran

FOTO AFP

ISTANBUL, 5 Jun – Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata pada Khamis bahawa Iran dan Oman akan menguruskan Selat Hormuz secara bersama selaras dengan undang-undang antarabangsa, lapor Anadolu Ajansi (AA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Iran dan Oman mempunyai hak semula jadi untuk menyelaras dan membuat keputusan mengenai pengurusan Selat Hormuz.
  • Tehran akan bertukar pandangan dengan negara-negara Teluk namun keputusan pentadbiran akhir akan dibuat oleh Iran dan Oman.
  • Usaha kedua-dua pihak bertujuan memastikan laluan selamat bagi semua kapal mengikut undang-undang antarabangsa.

Dalam kenyataan yang disiarkan penyiar negara Iran, IRIB, memetik stesen televisyen Lubnan Al Mayadeen, Araghchi berkata Iran dan Oman sebagai dua negara yang bersempadan dengan laluan strategik itu mempunyai “hak semula jadi” untuk menyelaras dan membuat keputusan berhubung pengurusannya.

Beliau berkata Tehran akan bertukar-tukar pandangan dengan negara-negara Teluk berhubung perkembangan berkaitan selat itu, namun menegaskan keputusan mengenai pentadbirannya akhirnya akan dibuat oleh Iran dan Oman.

Araghchi berkata usaha kedua-dua pihak bertujuan memastikan laluan selamat bagi semua kapal melalui selat itu mengikut undang-undang antarabangsa.

Dalam wawancara sama, Araghchi berkata komunikasi dengan Pemimpin Tertinggi Iran Mojtaba Khamenei masih berterusan dan arahan beliau diterima “pada waktunya” serta dilaksanakan dengan tepat.

Beliau juga berkata terdapat kesepakatan nasional yang luas terhadap kepimpinan Iran dan urusan negara berjalan “ke arah yang sangat baik.” -BERNAMA-ANADOLU

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.