
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Cadangan perlembagaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dipinda dengan menetapkan had pencalonan jawatan presiden kepada maksimum tiga calon sahaja dilihat memberi nafas baharu kepada badan induk bola sepak negara.
- Megat D Shahriman menawarkan diri bagi jawatan Presiden FAM.
- Menegaskan keberanian melakukan pembaharuan penting untuk memperkukuh pembangunan bola sepak negara.
- Beliau tidak mahu mengulas urusan AFC bersama FAM, percaya AFC sedang menjalankan tugas.
- Meminta ahli gabungan berhak mengundi membuat pertimbangan matang demi masa depan dan imej negara.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang juga menawarkan diri bagi jawatan presiden FAM berkata, keberanian untuk melakukan perubahan dan pembaharuan amat penting dalam usaha memperkukuh pembangunan bola sepak negara.
“Pandangan saya terhadap FAM adalah kita perlu tunggu dan lihat kerana saya percaya Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sedang menjalankan tugas mereka.
“Saya juga tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai urusan AFC bersama FAM. Namun, apa yang penting ialah melihat kepada pembaharuan yang perlu dilakukan, sama ada melibatkan pertukaran tertentu, pindaan perlembagaan ataupun soal pencalonan, contohnya mengurangkan jumlah calon daripada enam kepada tiga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Kem Fasa 1 Temasya Sukan Para ASEAN 2027 di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kampung Pandan di ibu negara.
Dalam pada itu, beliau turut meminta ahli-ahli gabungan yang mempunyai hak mengundi supaya membuat pertimbangan secara matang dan kritikal demi masa depan bola sepak negara.
“Pada saya, kita perlu memberi penghormatan sepenuhnya kepada semua ahli gabungan untuk menentukan ke mana hala tuju bola sepak negara ingin dibawa.
“Jika mahu melakukan perubahan, kita perlu berani. Tidak salah untuk berani dan melakukan pembaharuan, lebih-lebih lagi ketika ini merupakan masa yang tepat untuk melaksanakannya.
“Kita bukan sahaja mahu berasa selesa dengan pencapaian di dalam negara, tetapi juga perlu menjaga imej dan daya saing Malaysia di peringkat ASEAN, Asia serta antarabangsa,” katanya lagi.