
- Lantikan baharu berkuat kuasa tiga tahun mulai hari ini hingga 10 Mei 2029.
- Enam senator dilantik semula; tempoh mereka berkuat kuasa 20 Mac 2026 hingga 19 Mac 2029.
- Yang Dipertua tekankan Perkara 45(1) memastikan wakil negeri dan pelbagai lapisan masyarakat di Dewan Negara, serta harapan terhadap penglibatan aktif senator.
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Seramai 13 Ahli Dewan Negara, termasuk enam lantikan baharu, mengangkat sumpah jawatan sebagai senator di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, hari ini.
Antara senator yang menerima lantikan baharu ialah pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh; Ketua Wanita MCA, Datuk Wong You Fong; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe; Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali; Penolong Setiausaha DAP Sarawak, Larry Asap; serta R. Thiagarajah.
Kesemua lantikan baharu itu berkuat kuasa selama tiga tahun bermula hari ini hingga 10 Mei 2029.
Turut mengangkat sumpah ialah enam senator yang dilantik semula, iaitu Tan Sri Low Kian Chuan; Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan; Datuk Dr. Mohd Hatta Md Ramli; Isaiah D Jacob; Mohd Hasbie Muda; dan Abun Sui Anyit.
Sementara itu, Abdul Nasir Idris dipilih semula oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bagi penggal kedua sebagai senator.
Kesemua lantikan semula tersebut berkuat kuasa mulai 20 Mac 2026 hingga 19 Mac 2029.
“Pelantikan ini selaras dengan Perkara 45(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Dewan Negara dianggotai wakil negeri-negeri serta individu yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong daripada pelbagai latar belakang, kepakaran dan kelompok masyarakat,” kata Datuk Awang Bemee.
Menurut beliau, peruntukan itu mencerminkan kerangka Perlembagaan negara yang memastikan suara negeri-negeri, Wilayah Persekutuan dan pelbagai lapisan masyarakat terus diwakili dalam institusi legislatif tertinggi negara.
“Justeru, Dewan Negara bukan sahaja menjadi medan penggubalan undang-undang, malah turut berperanan sebagai wadah perbahasan yang matang, berhemah dan berpaksikan kepentingan rakyat serta negara.
Beliau berkata demikian pada sesi angkat sumpah senator di Bangunan Parlimen, hari ini.
“Semua senator diharap dapat memanfaatkan pengalaman dan kepakaran masing-masing menerusi perbahasan serta penglibatan aktif dalam Jawatankuasa Pilihan Dewan Negara demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara,” katanya.