
ALOR SETAR, 11 Mei – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) mengumumkan inisiatif pengurangan kadar sewa premis perniagaan antara 10 hingga 20 peratus bagi membantu usahawan di bawah seliaan agensi itu, khususnya di kawasan luar bandar, menghadapi tekanan ekonomi semasa.
- Keputusan dibuat susulan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar agensi kerajaan lebih prihatin terhadap keluhan para penyewa.
- Inisiatif itu melibatkan keseluruhan 355 premis perniagaan milik KEDA.
- Daripada jumlah tersebut, 273 premis di bawah Bahagian Pembangunan Usahawan; 82 diuruskan oleh Jawatankuasa Pasukan Perancang Pelaksana Program 4P Desa dan Koperasi Desa KEDA.
- KEDA berharap pengurangan kadar sewa dapat meringankan beban kewangan usahawan dan membolehkan mereka memberi tumpuan kepada pengukuhan serta perkembangan perniagaan.
Pengerusi KEDA, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata keputusan tersebut dibuat susulan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar agensi kerajaan yang menguruskan premis perniagaan lebih prihatin terhadap keluhan serta cabaran dihadapi para penyewa.
Menurut beliau, inisiatif itu melibatkan keseluruhan 355 premis perniagaan milik KEDA.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 273 premis berada di bawah seliaan Bahagian Pembangunan Usahawan, manakala 82 premis lagi diuruskan oleh Jawatankuasa Pasukan Perancang Pelaksana Program 4P Desa KEDA serta Koperasi Desa KEDA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Datuk Seri Mahdzir berkata, usahawan luar bandar merupakan tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan perlu terus diperkasa melalui sokongan berterusan kerajaan.
Beliau berharap pengurangan kadar sewa itu dapat meringankan beban kewangan usahawan sekali gus membolehkan mereka memberi tumpuan kepada pengukuhan serta perkembangan perniagaan masing-masing.