
IPOH, 11 Mei – Situasi banjir di Perak menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah penduduk terjejas semakin menurun setakat tengah hari tadi.
- Hanya satu PPS masih beroperasi di Larut, Matang dan Selama, di SK Matang Gelugor.
- PPS itu menempatkan 37 penduduk daripada sembilan keluarga dari Kampung Matang Pasir.
- Dewan Serbaguna Kampung Klah Baru, Batang Padang, ditutup pukul 8.30 pagi; semua penduduk dibenarkan pulang.
- JPS lapor beberapa sungai masih pada paras bahaya dan amaran; METMalaysia keluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat.
Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak pada pukul 12 tengah hari, hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi melibatkan daerah Larut, Matang dan Selama.
PPS di Sekolah Kebangsaan Matang Gelugor kini menempatkan seramai 37 penduduk daripada sembilan keluarga yang melibatkan penduduk Kampung Matang Pasir.
Jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding laporan pada pukul 8 pagi tadi yang merekodkan 43 orang daripada 11 keluarga di dua daerah terjejas banjir.
Sementara itu, PPS di Dewan Serbaguna Kampung Klah Baru, Batang Padang ditutup sepenuhnya pada pukul 8.30 pagi selepas keadaan banjir di kawasan berkenaan pulih dan semua penduduk dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak memaklumkan beberapa sungai di negeri itu masih berada pada paras bahaya dan amaran.
Antara yang mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya ialah Sungai Slim di Slim River, daerah Muallim dengan bacaan 26.91 meter berbanding paras bahaya 25.40 meter.
Selain itu, Sungai Kinta di Tanjung Tualang, daerah Kinta turut berada pada tahap bahaya dengan bacaan 13.57 meter, manakala Sungai Bidor di Changkat Jong, Hilir Perak merekodkan paras 3.72 meter.
Beberapa sungai lain pula masih berada pada tahap amaran termasuk Sungai Ijok di Titi Ijok, Larut, Matang dan Selama serta Sungai Kampar di Kampung Baru Kuala Dipang, Kampar.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) turut mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat melibatkan beberapa negeri sehingga pukul 12 tengah hari tadi.