Pelancongan perubatan Pulau Pinang jana RM1.14 bilion melalui 16 hospital swasta

Seramai 527,176 pesakit warga asing direkodkan pada tahun 2025

GEORGE TOWN, 11 Mei – Pulau Pinang merekodkan peningkatan hampir 26 peratus jumlah pesakit warga asing yang mendapatkan rawatan di negeri itu tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • 16 hospital swasta terlibat dalam perkhidmatan kepada pesakit warga asing.
  • Penang Centre of Medical Tourism melaporkan peningkatan berterusan bilangan pesakit luar negara.
  • Pendapatan sektor pelancongan perubatan Pulau Pinang meningkat kepada RM1.14 bilion.
  • Exco negeri berkata kejayaan ini memperkukuh Pulau Pinang sebagai destinasi utama pelancongan perubatan negara.

Seramai 527,176 pesakit warga asing direkodkan pada tahun lalu berbanding 418,608 orang pada tahun sebelumnya.

Menurut Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai, peningkatan tersebut melibatkan 16 hospital swasta di negeri berkenaan dan sekali gus memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi utama pelancongan perubatan negara.

“Berdasarkan data Penang Centre of Medical Tourism, jumlah pesakit warga asing yang mendapatkan rawatan di 16 hospital swasta di Pulau Pinang terus menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

“Pada tahun sebelumnya, sebanyak 418,608 pesakit direkodkan dengan penjanaan pendapatan berjumlah RM898 juta, manakala tahun lalu meningkat kepada 527,176 pesakit, iaitu peningkatan sebanyak 25.94 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini.

Tambah beliau, peningkatan jumlah pesakit asing itu turut menyumbang kepada penjanaan pendapatan sebanyak RM1.14 bilion kepada sektor pelancongan perubatan negeri.