Hakisan tebing Sungai Kayu Ara dijangka selesai dalam dua minggu

Foto RTM

PETALING JAYA, 11 Mei – Isu hakisan tebing sungai berhampiran kawasan perumahan Kampung Sungai Kayu Ara dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu lagi, sekali gus melegakan kebimbangan penduduk setempat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerja pembaikan akan dimulakan oleh Prasarana dan Setia Utama LRT3 (SULRT3) secepat mungkin.
  • Kajian awal MPPJ, Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor serta Prasarana menunjukkan struktur masih selamat tetapi perlukan pembaikan segera.
  • Gobind menegaskan pematuhan piawaian undang-undang, kerjasama agensi dan pemantauan berterusan untuk memastikan keselamatan penduduk.

Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo berkata, kerja-kerja pembaikan fizikal akan dimulakan selewat-lewatnya esok oleh Prasarana Malaysia Berhad bersama Setia Utama LRT3 Sdn Bhd (SULRT3).

Menurut beliau, hakisan yang berlaku di bawah struktur tiang Transit Aliran Ringan (LRT) menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk berhampiran, justeru tindakan segera amat diperlukan.

“Saya dimaklumkan kerja pembaikan akan bermula esok dan dijangka siap dalam tempoh dua minggu, bergantung kepada keadaan cuaca memandangkan kini musim hujan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian, hari ini.

Hasil kajian awal yang dijalankan oleh Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) bersama Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor serta Prasarana mendapati struktur di kawasan berkenaan masih berada dalam keadaan selamat, namun memerlukan pembaikan segera bagi mengelakkan risiko lebih serius.

Gobind yang juga Menteri Digital turut menegaskan kepentingan pematuhan kepada semua piawaian dan keperluan undang-undang sebelum kerja pembaikan dilaksanakan.

“Saya telah meminta Prasarana berbincang dengan JPS Selangor dan MPPJ bagi memastikan pelan tindakan yang dirangka benar-benar menyelesaikan masalah ini secara menyeluruh,” katanya.

Beliau menambah, pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan penduduk di kawasan tersebut sentiasa terjamin.