
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim secara rasmi memulakan tugas sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkuat kuasa hari ini.
- Menggantikan Datuk Dr. Anesee Ibrahim yang bersara, disambut oleh timbalan KSU dan barisan pengurusan tertinggi KPT.
- Pengalaman sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia memperkukuh kepakaran dalam pembangunan modal insan dari pendidikan asas hingga tinggi.
- Pengalaman menerajui MOSTI dilihat sebagai kelebihan strategik untuk memperkukuh agenda penyelidikan, pembangunan dan inovasi universiti.
- Diyakini memacu pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026 hingga 2035, meningkatkan kebolehpasaran graduan dan daya saing IPT.
Beliau menggantikan Datuk Dr. Anesee Ibrahim yang menamatkan perkhidmatan selepas bersara wajib pada 9 Mei lalu. Ketibaan beliau disambut Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Ahmad Rizal Adnan, bersama barisan pengurusan tertinggi kementerian.
Beliau kemudiannya mengetik perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas rasmi menerajui pentadbiran KPT.
Datuk Dr. Aminuddin sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sekali gus membawa pengalaman luas dalam pembangunan modal insan negara merangkumi pendidikan asas hingga pendidikan tinggi.
Pengalaman tersebut dijangka memberi nilai tambah dalam usaha melahirkan graduan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta yang lebih berkualiti, kompetitif serta memenuhi keperluan pembangunan negara.
Pengalaman menerajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut dilihat sebagai kelebihan strategik dalam memperkukuh agenda penyelidikan, pembangunan dan inovasi universiti, selaras dengan aspirasi negara untuk memperkasa ekosistem inovasi nasional.
Selain itu, beliau juga pernah memegang beberapa jawatan penting dalam perkhidmatan awam, antaranya sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sekali gus membuktikan keupayaan kepimpinan rentas sektor yang luas dan berimpak tinggi.
Memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1994, beliau pernah berkhidmat di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan serta Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Dari sudut akademik, beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi dan Pengurusan Alam Sekitar daripada York University, United Kingdom. selain memiliki Ijazah Sarjana dari University of Warwick serta Ijazah Sarjana Muda dari University of Central England, United Kingdom.
Gabungan pengalaman luas dalam bidang pendidikan, inovasi, penyelidikan dan pentadbiran awam diyakini mampu menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.
KPT optimis kepimpinan baharu ini akan terus melonjak transformasi pendidikan tinggi negara, meningkat kebolehpasaran graduan serta memperkukuh daya saing Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia di peringkat serantau dan global.