
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Kepimpinan dalam agensi penguatkuasaan memerlukan ketegasan, keberanian serta kesediaan membuat keputusan sukar tanpa menghiraukan kritikan.
- Pengalaman panjang dalam penguatkuasaan membentuk kerjaya dan sering menjadikan lebih ramai musuh berbanding rakan.
- Pemimpin tidak boleh berkompromi dengan pegawai yang melakukan jenayah, rasuah atau salah laku disiplin serius.
- Semua siasatan dijalankan berdasarkan maklumat sah dan prosedur, sambil memastikan akauntabiliti dan integriti dipikul.
Demikian ditegaskan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, yang bakal menamatkan perkhidmatannya esok.
Menurut beliau, pengalaman lebih empat dekad dalam bidang penguatkuasaan antirasuah menjadikan seseorang itu mempunyai lebih ramai musuh berbanding rakan.
“Ketegasan seorang pemimpin agensi penguatkuasaan amat penting kerana kita tidak boleh berkompromi dengan mana-mana pegawai yang melakukan jenayah, rasuah atau salah laku disiplin yang serius,” katanya dalam pertemuan eksklusif bersama pengamal media, di sini.
Tan Sri Azam menyertai Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1984 sebelum dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020.
Beliau berkata pengalaman sepanjang perkhidmatan banyak membentuk perjalanan kerjayanya dalam usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa.
Menurutnya, antara cabaran terbesar dalam bidang penguatkuasaan ialah memastikan siasatan dan tindakan penguatkuasaan terus berkesan dalam menangani bentuk rasuah serta penyalahgunaan kuasa yang semakin kompleks.
Dalam pada itu, beliau turut mempertahankan tindakan SPRM menjalankan siasatan terhadap beberapa tokoh politik berprofil tinggi, termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, semua siasatan dijalankan berdasarkan maklumat yang sah serta mengikut prosedur ditetapkan meskipun menerima kritikan daripada pelbagai pihak.
Beliau menegaskan aspek akauntabiliti tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab penguatkuasaan kerana setiap pelantikan hadir bersama amanah yang perlu dipikul dengan penuh integriti.