Hari Wesak : 5,000 pengunjung dijangka meriahkan sambutan peringkat negeri Selangor

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor, Ng Sze Han/ BERNAMA

SHAH ALAM, 11 Mei – Kira-kira 5,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan sambutan Hari Wesak Peringkat Negeri Selangor yang akan berlangsung pada 6 Jun di Sugata Dharma Vihara Temple, Kuala Langat, Selangor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sambutan bertujuan memperkukuh keharmonian masyarakat majmuk dan meningkatkan pemahaman terhadap ajaran serta budaya Buddha.
  • Program selaras dengan Tahun Melawat Selangor 2026 untuk mempromosikan pelancongan budaya dan keharmonian.
  • Tarikan unik: upacara mandi Buddha melibatkan 666 patung Putera Siddhartha sebagai simbolik perayaan.
  • Program turut menawarkan sesi keagamaan, pameran setem, pertandingan seni kanak-kanak, pemeriksaan kesihatan percuma, parkir dan bas ulang-alik.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Bukan Islam Selangor, Ng Sze Han berkata, sasaran itu berdasarkan kepada pelbagai pengisian bercorak keagamaan, kebudayaan dan kemasyarakatan yang disediakan kepada pengunjung.

Beliau yang juga Exco Pelaburan dan Mobiliti Selangor berkata, sambutan berkenaan bertujuan memperkukuh keharmonian masyarakat majmuk, selain meningkatkan pemahaman terhadap ajaran dan budaya Buddha.

“Perayaan itu juga selaras dengan Tahun Melawat Selangor 2026 dalam usaha mempromosikan pelancongan budaya serta memperkukuh keharmonian masyarakat. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dijadual merasmikan sambutan tersebut pada pagi 6 Jun 2026.

“Keunikan sambutan tahun ini adalah bertepatan dengan tarikh 6 Jun 2026 (6.6.2026). Simboliknya sebanyak 666 patung Putera Siddhartha akan dihimpunkan bagi upacara mandi Buddha yang akan disaksikan oleh orang ramai. Selain itu, pelbagai aktiviti dan program turut diadakan bersempena sambutan Hari Wesak Peringkat Negeri Selangor tahun ini”, katanya.

Antara tarikan utama ialah upacara mandi Buddha melibatkan 666 patung Putera Siddhartha sempena tarikh simbolik 6 Jun 2026.

Selain itu, pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti termasuk sesi keagamaan, pameran setem Buddha, pertandingan seni kanak-kanak serta pemeriksaan kesihatan percuma.

Bagi memastikan keselesaan pengunjung, kemudahan tempat letak kereta serta perkhidmatan bas ulang-alik turut disediakan sepanjang program berlangsung.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Shah Alam, Selangor.