Hujan lebat: 3 lokasi di Selangor dilanda banjir

Foto BBP Bestari Jaya

KUALA LUMPUR, 5 November – Tiga lokasi di Selangor dilanda banjir susulan hujan lebat petang tadi, dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri menggerakkan anggota bagi memantau keadaan serta memastikan keselamatan penduduk di kawasan terjejas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kawasan terjejas: Kampung Johan Setia, Tadika UiTM Puncak Alam, Taman Seri Alam, Saujana Utama.
  • Di Kampung Johan Setia dan Taman Seri Alam paras air dianggarkan kira-kira satu kaki; rumah dinaiki air tetapi tiada pemindahan.
  • Anggota bomba menjalankan pemantauan di lokasi, memastikan keselamatan penduduk dan menamatkan operasi selepas keadaan pulih.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, kawasan terjejas membabitkan Jalan Johan Setia, Kampung Johan Setia; Tadika Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Puncak Alam dan Taman Seri Alam, Saujana Utama, Sungai Buloh.

Dalam kejadian di Kampung Johan Setia, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Andalas menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.30 petang sebelum jentera tiba di lokasi 15 minit kemudian.

“Dalam kejadian itu, dilaporkan paras air sungai setinggi kira-kira satu kaki memasuki rumah penduduk, namun tiada pemindahan dilakukan setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, banjir yang berlaku di kawasan Tadika UiTM, Kampus Puncak Alam pulih sepenuhnya ketika anggota BBP Bestari Jaya tiba pada pukul 5.26 petang.

Menurut Ashrul, tiada keperluan untuk pihak bomba mengeluarkan penghuni dari premis berkenaan memandangkan air telah surut sepenuhnya.

“Anggota bomba bagaimanapun menjalankan pemantauan di sekitar kawasan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum operasi ditamatkan pada pukul 5.43 petang,” katanya.

Bagi kejadian di Taman Seri Alam, Saujana Utama, Sungai Buloh, banjir dilaporkan berpunca daripada hujan lebat serta limpahan air dari kawasan takungan berhampiran kediaman penduduk.

Anggota BBP Bestari Jaya yang tiba pada pukul 5.51 petang mendapati kedalaman air di kawasan perumahan itu dianggarkan kira-kira satu kaki.

Bagaimanapun, tiada pemindahan penduduk dilakukan setakat laporan diterima.

“JBPM Selangor meneruskan pemantauan di kawasan terjejas bagi memastikan keselamatan penduduk serta mengenal pasti sebarang keperluan bantuan lanjut,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.