
MELAKA, 11 Mei – Projek naik taraf sistem retikulasi air bernilai RM13.5 juta di tiga Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Sungai Udang berjaya disiapkan hampir sepenuhnya sekali gus menyelesaikan isu bekalan air yang sebelum ini menjejaskan kira-kira 1,800 unit rumah anggota tentera.
- Naik taraf sistem retikulasi memastikan bekalan air lebih selamat, stabil dan mencukupi kepada penghuni RKAT.
- Kerja penggantian paip dan penambahbaikan meningkatkan kapasiti sistem, kini mampu menampung sehingga dua setengah hari.
- Kerja baik pulih dan naik taraf RKAT di Kem Terendak sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap menjelang hujung tahun.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, projek berkenaan melibatkan kerja-kerja menaik taraf sistem retikulasi sedia ada bagi memastikan bekalan air yang lebih selamat, stabil dan mencukupi kepada semua penghuni RKAT terlibat.
Menurut beliau, tiga kawasan RKAT yang menerima manfaat ialah RKAT Desa Tun Razak, Desa Ria Tangga Batu serta Desa Taming Sari 1 dan 2, yang sebelum ini berdepan masalah bekalan air berpanjangan.
“Isu ini sudah lama berlaku, namun dengan peruntukan sekitar RM13.5 juta, kerja-kerja naik taraf kini telah mencapai kira-kira 99 peratus dan sistem telah pun berfungsi dengan baik,” katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja ke projek berkenaan di Kem Sungai Udang.
Beliau berkata, penambahbaikan yang dilaksanakan bukan sahaja melibatkan penggantian paip lama, malah turut meningkatkan keupayaan sistem bekalan air secara keseluruhan.
“Kalau dahulu sistem hanya mampu menampung keperluan sekitar satu hari, kini ia boleh menampung sehingga dua hari setengah,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan kerja-kerja baik pulih dan naik taraf RKAT di Kem Terendak yang melibatkan kos lebih RM400 juta turut sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.
Projek-projek ini dijangka memberi keselesaan jangka panjang kepada anggota tentera serta keluarga mereka melalui penyediaan infrastruktur asas yang lebih efisien dan mampan.