
JOHOR BAHRU, 11 Mei – Pelaksanaan 22 inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Keempat, yang dilaksanakan kerajaan negeri ketika ini, wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.
- BKJ dianggap faktor penting dalam saluran bantuan yang inklusif tanpa mengira umur, bangsa dan agama.
- Peruntukan RM138 juta dijangka memberi manfaat kepada lebih 600,000 rakyat Johor.
- Kerajaan negeri mengagihkan hasil secara adil melalui program berimpak tinggi untuk meningkatkan kemakmuran seluruh rakyat Johor.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia menjadi ‘faktor luar biasa’ kepada usaha saluran bantuan tanpa mengira batas umur, bangsa dan agama.
“Oleh kerana pendapatan negeri bertambah, tentunya pengagihan telah dibuat secara seadil-adilnya kepada semua golongan masyarkat di Johor dan mudah-mudahan ia akan terus memberikan kemakmuran kepada rakyat Johor keseluruhannya,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang turut dihadiri kepimpinan tertinggi parti itu, di sini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan mencemar duli sempena Sambutan Ulangtahun UMNO Ke-80 di Istana Besar Johor, pagi tadi.
BKJ dilaksana dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM138 juta, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 600,000 rakyat negeri ini.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Yang ke-15.
Ia sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan hasil negeri dikembalikan kepada rakyat melalui program berimpak tinggi.