
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Populasi dunia dalam kalangan 31 negara yang menyertai soal selidik berkenaan konflik di Asia Barat menyifatkan situasi itu tidak akan berakhir dalam masa terdekat.
- Hasil soal selidik: 33% jangka konflik berakhir 2027; 31% hujung 2026; 26% dalam tiga bulan; 10% sebulan.
- Asia Tenggara termasuk Malaysia jangka konflik berpanjangan walaupun usaha diplomatik diteruskan.
- Perubahan geopolitik menjejaskan reputasi negara serta memberi kesan kepada jenama dan tingkah laku pengguna.
- Dapatan menunjukkan reputasi Amerika Syarikat merosot manakala China dan Iran mencatat peningkatan di Malaysia.
Pengarah Urusan Ipsos Malaysia, Arun Menon, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kira-kira 33 peratus daripada 22,531 responden yang menyertai soal selidik berkenaan menjangkakan konflik tersebut akan berakhir pada tahun 2027.
“Kira-kira 31 peratus pula menjangkakan konflik berkenaan akan berakhir pada hujung 2026. Manakala 26 peratus lagi menjangkakan ia akan berkahir dalam tempoh tiga bulan dan hanya 10 peratus berpandangan konflik tersebut akan berkahir dalam tempoh sebulan akan datang,” menurut kenyataan itu.
Menerusi dapatan tersebut, Asia Tenggara termasuk Malaysia menjangkakan konflik di Asia Barat konflik akan berpanjangan, meskipun usaha diplomatik terus dilakukan.
Di Malaysia, hanya 12 peratus juga menjangkakan konflik itu akan berakhir dalam tempoh sebulan, manakala di Singapura hanya sembilan peratus yang menyuarakan pendapat sama.
Sementara itu dapatan di Indonesia dan Thailand, masing-masing merekodkan 13 peratus dan 14 peratus menjangkakan konflik berkenaan akan berakhir dalam tempoh sebulan.
“Perubahan landskap geopolitik ini semakin mempengaruhi pandangan masyarakat terhadap sesebuah negara dan secara tidak langsung turut memberi kesan kepada jenama-jenama yang dikaitkan dengannya.
“Perniagaan dijangka berdepan pengguna yang lebih berhati-hati, khususnya dalam suasana kebimbangan terhadap inflasi yang masih berterusan.
“Sehubungan itu pendekatan komunikasi yang berhemah serta sensitif terhadap konteks tempatan amat penting, dengan memastikan mesej yang disampaikan kekal neutral dan fleksibel selaras dengan perubahan sentimen awam di pelbagai pasaran,” menurut kenyataan itu.
Kajian turut menyaksikan Amerika Syarikat (AS) menghadapi kehilangan reputasi ketara, manakala China meningkatkan reputasinya susulan konflik di Asia Barat.
Dapatan itu diperolehi menerusi kajian soal selidik Ipsos yang dilakukan ke atas 22,531 responden dari 31 negara di seluruh dunia pada 20 Mac hingga 3 April lalu.
“Reputasi Amerika Syarikat kini berada pada tahap terendah dalam kalangan sekutu di Eropah dan Kanada, dengan penurunan ketara turut direkodkan di seluruh Asia Tenggara, khususnya di Malaysia.
“Dalam pada itu, reputasi global China dilaporkan paling kukuh di Malaysia dan Indonesia, diikuti beberapa negara lain di Asia Tenggara serta Amerika Latin.
“Iran turut mencatat peningkatan reputasi dalam kalangan rakyat Malaysia serta di kebanyakan negara membangun,” menurut kenyataan itu.