
JOHOR BAHRU, 11 Mei – Isu kesesakan laluan lori di Laluan Kedua Malaysia – Singapura (Linkedua) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Puteri, Johor, bakal dibawa kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan lanjut.
- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) bertanggungjawab menjalankan operasi mesin pengimbas di Kompleks Sultan Abu Bakar.
- Kementerian Pengangkutan akan mengemukakan maklum balas kepada pihak berkaitan mengenai isu operasi di KSAB.
- Pemandu lori mahu penyelesaian jangka panjang; pemeriksaan imbasan wajib menyebabkan kesesakan dan mereka perlu berjalan kira-kira 500 meter.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, isu berkaitan KSAB termasuk operasi mesin pengimbas merupakan bidang kuasa Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang berada di bawah KDN.
“Isu ini memang kita sentiasa berikan perhatian. Kementerian Pengangkutan akan mengemukakan maklum balas kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandangkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berada di bawah kementerian itu.
“Kita sedia maklum bahawa kesesakan di Tambak Johor dan Kompleks Sultan Abu Bakar merupakan antara isu utama yang diberi perhatian.
“Kerajaan juga telah mewujudkan mekanisme khas bagi menangani perkara tersebut menerusi Jawatankuasa Kabinet Kesesakan di Tambak Johor. Segala isu operasi akan dibincang dan dilaksanakan melalui platform berkenaan”, katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Program MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) Tahun 2026) di Johor Bahru.
Sebelum ini, media melaporkan pemandu lori berharap satu penyelesaian jangka panjang dapat dilaksanakan, bagi mengatasi kesakan di pintu masuk KSAB. Kesesakan itu berlaku susulan pelaksanaan pemeriksaan imbasan wajib ke atas semua kenderaan berat.
Pemandu lori menyifatkan langkah tersebut sebagai penyelesaian sementara, dengan sebahagian mereka perlu berjalan kira-kira 500 meter, selepas meletakkan kenderaan untuk menghantar dokumen di KSAB, sebelum kembali semula ke lori masing-masing bagi proses imbasan.