
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Sebanyak 57 buah kapal Global Sumud Flotilla (GSF) kini sedang bersedia meneruskan pelayaran misi kemanusiaan menuju ke Gaza.
- Kru berada dalam keadaan terkawal dan stabil, bersedia meneruskan pelayaran kemanusiaan bersama delegasi antarabangsa.
- Misi menuntut pengiktirafan koridor maritim kemanusiaan menurut undang-undang antarabangsa, terutamanya UNCLOS.
- Misi dianggap sah menurut Artikel 87 UNCLOS yang menjamin kebebasan pelayaran dan perlindungan kapal bantuan.
- Seruan kepada rakyat Malaysia untuk sokongan, penyebaran maklumat sahih dan usaha berterusan di peringkat nasional serta antarabangsa.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby memaklumkan, kesemua kru kapal sedang membuat persiapan akhir sebelum flotilla memasuki fasa terakhir pelayaran.
Menurut beliau, kesemua peserta Malaysia kini berada dalam keadaan terkawal bersama delegasi antarabangsa lain yang menyertai misi berkenaan.
“Semua mereka berada dalam keadaan baik, stabil dan bersedia sepenuhnya untuk meneruskan pelayaran kemanusiaan bersama delegasi antarabangsa yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Datuk Dr Sani Araby turut menegaskan bahawa misi kali ini bertujuan mendesak komuniti antarabangsa mengiktiraf koridor maritim kemanusiaan di bawah undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).
Menurut beliau, misi tersebut adalah sah dari segi undang-undang berdasarkan Artikel 87 UNCLOS yang menjamin kebebasan pelayaran di laut lepas serta melindungi kapal-kapal termasuk yang membawa bantuan kemanusiaan daripada sebarang sekatan atau gangguan tidak sah.
Beliau berkata, usaha berkenaan juga merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan masyarakat antarabangsa dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin dan isu kemanusiaan di Gaza.
Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat Malaysia agar terus memberikan sokongan terhadap usaha membebaskan Gaza dan Palestin.
Katanya, penyebaran maklumat perlu berpandukan sumber yang sahih serta berautoriti selain disusuli usaha berterusan di peringkat nasional dan antarabangsa.