BNM-Bank Indonesia perkukuh kerjasama dua hala melalui MoU baharu

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Mei- Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Indonesia (BI) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) baharu bagi memperkukuh kerjasama dua hala antara kedua-dua bank pusat dalam pelbagai bidang perbankan pusat.

RINGKASAN BERITA AI
  • MoU sebagai platform komprehensif merangkumi dasar monetari, kestabilan kewangan, sistem pembayaran, pendigitalan dan pembangunan sektor kewangan.
  • Komitmen untuk memperdalam dan meluaskan kerjasama dua hala dalam bidang perbankan pusat termasuk inisiatif pembangunan keupayaan dan perkongsian maklumat.
  • Langkah ini diharap menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kestabilan kewangan mampan bagi kedua-dua negara.

MoU berkenaan menyediakan platform komprehensif yang merangkumi kerjasama dalam dasar monetari, kestabilan kewangan dan dasar kehematan makro, sistem pembayaran dan pendigitalan, pembangunan sektor kewangan, inisiatif pembangunan keupayaan, perkongsian maklumat serta beberapa bidang lain yang dipersetujui bersama.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata MoU itu mengukuhkan lagi hubungan kerjasama yang telah lama terjalin antara BNM dan BI.

“MoU ini turut menekankan komitmen bersama kami untuk memperdalam kerjasama dalam bidang perbankan pusat yang sedia ada, dan pada masa yang sama memperluas kerjasama dalam bidang kepentingan bersama yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Gabenor Bank Indonesia, Perry Warjiyo pula menyifatkan MoU tersebut merupakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh hubungan jangka panjang antara kedua-dua institusi.

“MoU ini mencerminkan semangat yang berkekalan untuk memperkukuh hubungan institusi dan memperdalam kerjasama dua hala antara dua bank pusat ini, khususnya dalam persekitaran geopolitik semasa yang mencabar,” katanya dalam kenyataan sama.

Pemeteraian MoU itu juga membuka lembaran baharu ke arah kerjasama yang lebih kukuh dan bersepadu antara BNM dan BI, sekali gus diharap dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kestabilan kewangan yang lebih mampan bagi kedua-dua negara.