Malaysia sasar capai pemanduan autonomi tahap tiga menjelang 2030

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Mei– Malaysia menyasarkan industri automotif negara mencapai keupayaan pemanduan autonomi tahap tiga menjelang 2030, sebagai persediaan ke arah transformasi mobiliti masa depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dorong pemain industri dan agensi, termasuk MARii, meneliti hala tuju pembangunan pemanduan autonomi.
  • Malaysia belum memulakan perbincangan serius; perlu tindakan awal dan kesediaan industri.
  • Transformasi melibatkan cip, perisian, sensor serta perubahan dalam proses pembuatan kenderaan.
  • Vendor tempatan perlu tingkatkan kemahiran dan keupayaan untuk menjadi pembekal dalam rantaian bekalan baharu.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata sasaran itu penting memandangkan teknologi pemanduan autonomi sedang berkembang pesat di peringkat global dan dijangka menjadi antara komponen utama dalam landskap automotif baharu.

Menurutnya, antara usaha awal yang akan digerakkan ialah mendorong pemain industri serta agensi berkaitan termasuk Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia, MARii, untuk mula meneliti hala tuju pembangunan pemanduan autonomi di negara ini.

“Malaysia belum memulakan perbincangan secara serius mengenai pemanduan autonomi. Oleh sebab itu, saya mahu mendorong industri untuk mula melihat perkara ini kerana ia melibatkan perubahan besar, bukan sahaja dalam pembuatan kereta, tetapi juga cip, perisian, sensor dan keupayaan vendor tempatan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Automotif dan Mobiliti ASEAN Ke-2 di ibu negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perbincangan mengenai pemanduan autonomi perlu diperluas kerana Malaysia sebelum ini lebih tertumpu kepada aspek pembuatan kenderaan, khususnya kenderaan konvensional.

Katanya, teknologi pemanduan autonomi melibatkan perubahan besar dalam keseluruhan ekosistem automotif, termasuk keperluan terhadap cip, sensor, perisian serta sistem sokongan digital.

Vendor tempatan juga perlu meningkatkan kemahiran dan keupayaan masing-masing supaya dapat menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan baharu, termasuk sebagai pembekal sensor, cip dan perisian automotif.

Perkembangan teknologi itu kini berlaku pada kadar sangat pantas di beberapa negara maju, sekali gus memberi isyarat bahawa Malaysia juga perlu bersedia untuk menjadi sebahagian daripada sektor penting berkenaan.