
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Kerjasama antara pengeluar kenderaan asing dengan vendor tempatan merupakan antara tumpuan dalam usaha membangunkan ekosistem automotif negara yang lebih luas, bernilai tinggi dan berdaya saing.
- Perkukuh rantaian bekalan automotif dan tingkatkan keupayaan peneraju tempatan ke tahap pengeluaran dan teknologi lebih maju.
- Kerajaan mahu kerjasama pengeluar asing dengan vendor tempatan bagi menambah nilai industri dan bersedia untuk pemanduan autonomi.
- Peluang terbesar adalah sektor semikonduktor susulan peningkatan penggunaan cip dalam kenderaan elektrik dan teknologi pemanduan autonomi.
- Malaysia mempunyai kelebihan dalam reka bentuk litar bersepadu, fabrikasi, pemasangan dan ujian; kerajaan galakkan kerjasama asing khususnya dalam semikonduktor.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, pendekatan itu mampu memperkukuh keseluruhan rantaian bekalan automotif, termasuk meningkatkan keupayaan peneraju tempatan untuk bergerak ke tahap pengeluaran dan teknologi yang lebih maju.
Menurut beliau, kerjasama dengan pengeluar kenderaan antarabangsa penting bagi memastikan pembangunan industri automotif negara memberi limpahan manfaat yang lebih luas kepada ekosistem tempatan.
“Kerajaan mahu pengeluar kenderaan asing bekerjasama dengan vendor tempatan bagi meningkatkan keupayaan mereka, membawa industri ke rantaian nilai lebih tinggi, seterusnya menjadikan Malaysia lebih bersedia sebagai pengeksport komponen dan alat ganti, selain bersedia ke arah pemanduan autonomi” katanya selepas Persidangan Automotif dan Mobiliti ASEAN Ke-2 di sini, hari ini.
Jelasnya, ekosistem automotif negara bukan hanya untuk menyokong syarikat pengeluar kenderaan tempatan, tetapi turut merangkumi jenama Eropah, Jepun, China serta pengeluar kenderaan lain yang beroperasi di Malaysia.
Peluang paling besar untuk Malaysia kini terletak pada sektor semikonduktor, susulan peningkatan penggunaan cip dalam kenderaan elektrik dan teknologi pemanduan autonomi.
Malaysia juga mempunyai kelebihan dalam rantaian nilai semikonduktor, termasuk reka bentuk litar bersepadu, fabrikasi, pemasangan dan ujian.
Sehubungan itu, kerajaan mahu menggalakkan lebih banyak pengeluar kenderaan asing bekerjasama dengan industri tempatan, khususnya dalam bidang semikonduktor bagi memastikan manfaatnya turut dinikmati industri dan tenaga kerja negara.