
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan i-Legasi, i-Emas dan Kalkulator Matlamat Persaraan bagi memperkukuh kesejahteraan persaraan ahli serta memastikan jaminan kewangan yang lebih mampan merentas generasi.
- Fokus perancangan persaraan melangkaui pengumpulan, menekankan kecukupan dan kemampanan.
- i-Legasi membolehkan pemindahan baki simpanan melebihi tahap mencukupi kepada akaun keluarga selepas umur pengeluaran penuh selaras RIA.
- i-Emas jenamakan semula bayaran bulanan, membolehkan pengeluaran automatik sambil baki terus menerima dividen dan melindungi ahli.
- Kalkulator Matlamat Persaraan di i-Akaun membantu menganggarkan keperluan simpanan masa hadapan serta mengenal pasti jurang simpanan.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, perancangan persaraan kini harus melangkaui fasa pengumpulan simpanan, selain memberi tumpuan kepada kecukupan dan kemampanan.
“Kami terus memperluas sokongan kepada ahli bukan sahaja untuk menyimpan, tetapi juga untuk membuat keputusan yang lebih baik bagi memastikan simpanan mereka berkekalan sepanjang hayat serta meninggalkan legasi buat insan tersayang,” katanya dalam satu kenyataan.
Melalui kemudahan i-Legasi, ahli boleh memindahkan sebahagian simpanan KWSP kepada akaun KWSP ahli keluarga terdekat setelah mencapai umur pengeluaran penuh.
“Jumlah pemindahan adalah selaras dengan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA), dengan hanya baki simpanan melebihi tahap simpanan mencukupi layak dibenarkan untuk dipindahkan,” jelasnya.
Selain itu, kemudahan kaedah bayaran bulanan melalui pengeluaran umur 55/60 tahun sedia ada pula kini dijenamakan semula sebagai i-Emas bagi menekankan kepentingan pengurusan simpanan persaraan sebagai sumber pendapatan yang mampan.
“Berbanding dengan pengeluaran simpanan secara penuh apabila mencapai usia 55/60 tahun, ahli boleh memilih kaedah bayaran bulanan secara automatik melalui i-Emas, sekali gus membolehkan baki simpanan mereka terus menerima dividen tahunan.
Setakat ini, lebih 21,000 ahli telah memilih kaedah pengeluaran bulanan berkenaan yang mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap kepentingan pendapatan persaraan yang lebih terancang dan stabil.
“i-Emas menyediakan fleksibiliti untuk mengurus keperluan harian, di samping melindungi ahli daripada risiko kewangan seperti penipuan dan pengurangan simpanan secara mendadak serta memastikan aliran pendapatan yang stabil sepanjang tempoh persaraan,” kata Ahmad Zulqarnain.
Dalam pada itu, KWSP turut melancarkan Kalkulator Matlamat Persaraan menerusi aplikasi i-Akaun bagi membolehkan ahli menganggarkan keperluan simpanan masa hadapan berdasarkan jangkaan gaya hidup dan unjuran perbelanjaan.
Ini sekali gus membantu mengenal pasti jurang simpanan serta tahap kesediaan kewangan masing-masing.