Malaysia-Turkmenistan buka peluang baharu kepada syarikat OGSE tempatan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Kerjasama strategik Malaysia dan Turkmenistan dalam sektor tenaga membuka peluang kepada syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) tempatan untuk meneroka pasaran baharu, khususnya dalam bidang teknologi, kejuruteraan khusus dan perkhidmatan bernilai tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia sertai Persidangan dan Pameran Minyak dan Gas Turkmenistan (OGT 2026) dengan 20 syarikat termasuk 19 OGSE dan PETRONAS.
  • Tujuh syarikat OGSE tampil di Pavilion Malaysia melalui program Akses Pasaran Antarabangsa diterajui MPRC di bawah Pelan Tindakan Industri OGSE 2021-2030.
  • MPRC dijangka memeterai MoU dengan State Concern Turkmennebit; PETRONAS 30 tahun hadir sokong pemindahan teknologi dan pembangunan kemahiran selaras RMK13.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, komitmen itu dizahirkan menerusi penyertaan Malaysia dalam Persidangan dan Pameran Antarabangsa Minyak dan Gas Turkmenistan (OGT 2026).

“Sebanyak 20 syarikat Malaysia menyertai acara berkenaan, termasuk 19 syarikat OGSE dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

“Daripada jumlah itu, tujuh syarikat OGSE menyertai Pavilion Malaysia yang julung kali diadakan menerusi program Akses Pasaran Antarabangsa, diterajui Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) di bawah Pelan Tindakan Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau, syarikat Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan rakan industri di Turkmenistan bukan sekadar sebagai pembekal, malah sebagai rakan kerjasama jangka panjang yang komited untuk mencipta nilai tambah kepada ekonomi tempatan.

Kerjasama itu turut disokong oleh kehadiran PETRONAS selama 30 tahun di Turkmenistan serta perjanjian rangka kerja pembangunan sumber hidrokarbon yang dimeterai ketika lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Jun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, MPRC dijadual memeterai memorandum persefahaman(MoU) dengan State Concern Turkmennebit bagi memudah cara kerjasama antara industri OGSE kedua-dua negara.

Akmal Nasrullah turut mengadakan sesi libat urus dengan kepimpinan kerajaan dan syarikat tenaga antarabangsa bagi meneroka peluang kerjasama perniagaan.

Usaha itu dijangka memperluas peluang pemindahan teknologi dan pembangunan kemahiran, sekali gus meningkatkan daya saing syarikat OGSE tempatan di peringkat antarabangsa, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.