Ringgit ditutup mengukuh berbanding unit serantau, kebanyakan mata wang utama

 

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Ringgit mengakhiri urus niaga hari ini dengan mengukuh berbanding mata wang serantau dan kebanyakan unit utama dunia kecuali euro dan dolar Amerika Syarikat (AS) ketika pelabur terus memantau perkembangan rundingan AS-Iran serta menjelang pertemuan pemimpin Washington dan Beijing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ringgit susut berbanding dolar AS pada 6 petang kepada 3.9220/9260 daripada 3.9185/9230.
  • Pasaran tertumpu kepada rundingan AS-Iran yang menunjukkan perkembangan kecil.
  • Pelabur menanti pertemuan Presiden AS dan Presiden China di Beijing pada 14 Mei 2026.
  • Ringgit mengukuh terhadap yen, pound dan mata wang serantau tetapi rendah berbanding euro.

Pada 6 petang, ringgit susut berbanding dolar AS kepada 3.9220/9260 daripada 3.9185/9230 pada penutup urus niaga Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran kekal tertumpu kepada rundingan AS-Iran yang terbukti memaparkan perkembangan kecil setakat ini.

Beliau berkata kalangan pelabur turut mengikuti rapat serta menanti pertemuan antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden Xi Jinping di Beijing yang dijadualkan pada 14-14 Mei, 2026.

“Dalam pada itu, Rizab Persekutuan (Fed) AS pula dijangka tidak menurunkan kadar faedah utama dalam masa terdekat. Pada masa sama, pelantikan Pengerusi Fed baharu, Kevin Warsh akan turut menjadi tumpuan, terutama kecenderungannya terhadap aspek menseimbangkan pertumbuhan dan inflasi,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup hari ini, ringgit diniagakan kebanyakannya meningkat berbanding mata wang utama.

Ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 2.4955/4983 daripada 2.5010/5040, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3331/3383 daripada 5.3354/3416, namun rendah berbanding euro kepada 4.6150/6197 daripada 4.6121/6174 pada Jumaat lepas.

Selain itu, ringgit juga mengukuh berbanding mata wang serantau lain.

Berbanding dolar Singapura, ringgit mengukuh kepada 3.0887/0921 daripada 3.0910/0948, naik berbanding baht Thailand kepada 12.0900/1083 daripada 12.1640/1844, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 225.2/225.5 daripada 225.4/225.7 serta tinggi berbanding peso Filipina kepada 6.41/6.42 daripada 6.46/6.47 sebelum ini.- BERNAMA