Datuk Jay Khairil dilantik CEO KWAP baharu

Datuk Jay Khairil Jeremy Abdullah

KUALA LUMPUR, 11 Mei Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] mengumumkan pelantikan Datuk Jay Khairil Jeremy Abdullah, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharunya berkuat kuasa 20 Mei 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Datuk Jay Khairil akan menerajui hala tuju strategik, operasi dan keutamaan KWAP serta melaksanakan mandat dana persaraan sektor awam.
  • Mempunyai hampir 30 tahun pengalaman dalam perbankan dan perkhidmatan kewangan dengan kepakaran pengurusan kewangan, tadbir urus, audit dan pengurusan risiko.
  • Sebelum ini Ketua Eksekutif BSN, memimpin transformasi prestasi kewangan, perbankan digital, daya tahan operasi dan keterangkuman kewangan.
  • Memiliki ijazah perniagaan dan kewangan serta kelayakan profesional seperti Chartered Banker, CGMA dan Certified Financial Services Auditor.

KWAP dalam kenyataannya memaklumkan, Datuk Jay Khairil akan menerajui hala tuju strategik, operasi dan keutamaan institusi, di samping melaksanakan mandat KWAP sebagai dana persaraan sektor awam Malaysia melalui pelaburan yang berdisiplin, tadbir urus yang kukuh dan kepimpinan institusi dalam jangka panjang.

“Datuk Jay Khairil mempunyai pengalaman hampir 30 tahun dalam sektor perbankan dan perkhidmatan kewangan, dengan kepakaran luas yang merangkumi pengurusan kewangan, tadbir urus, audit dalaman, pengurusan risiko dan transformasi institusi.

“Sebelum pelantikan beliau di KWAP, Datuk Jay Khairil berkhidmat sebagai Ketua Eksekutif Bank Simpanan Nasional (BSN) dan menerajui transformasi bank tersebut dalam aspek prestasi kewangan, perbankan digital, daya tahan operasi dan keterangkuman kewangan, di samping melaksanakan mandat institusi tersebut dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat di seluruh Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan dan Ketua Audit Dalaman BSN, selain memegang jawatan kanan di CIMB Group, Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ (Malaysia) dan Bank Negara Malaysia, dengan pengalaman awal kerjaya di Hong Leong Bank dan AmMerchant Bank.

Datuk Jay Khairil memiliki Ijazah dalam bidang perniagaan dan kewangan daripada Heriot-Watt University, Edinburgh, Scotland, United Kingdom, serta Diploma Lanjutan dalam Perakaunan Pengurusan (Management Accounting).

Beliau merupakan Chartered Banker, Chartered Global Management Accountant dan Certified Financial Services Auditor, serta ahli Malaysian Institute of Accountants dan Chartered Institute of Management Accountants, selain pernah berperanan sebagai Ahli Berpiagam Institute of Internal Auditors Malaysia.

Dalam kenyataan sama, KWAP turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Nik Amlizan Mohamed yang telah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWAP sejak tahun 2020 atas kepimpinan, khidmat dan sumbangan beliau kepada kejayaan berterusan organisasi sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.