
SINGAPURA, 11 Mei – Pasukan Polis Singapura (SPF) akan menubuhkan sebuah unit baharu khusus bagi memperkukuh usaha membanteras jenayah dalam talian menerusi pembentukan Pusat Kawalan Siber SPF pada Julai 2026, kata Menteri Negara bagi Ehwal Dalam Negeri Goh Pei Ming.
- Menggabungkan keupayaan membanteras jenayah siber dan antipenipuan di seluruh SPF di bawah satu perintah tunggal.
- Berfungsi sebagai pasukan barisan hadapan tindak balas kepada ancaman siber dan melindungi rakyat daripada jenayah serta penipuan.
- Dimulakan dengan kira-kira 200 pegawai, rancangan menggandakan kepada 400 seiring pengembangan keupayaan.
- Memanfaatkan teknologi untuk mengesan kempen pancingan data skala besar dan menyekat transaksi kripto dengan risikan rantaian blok.
Beliau berkata unit berkenaan menggabungkan keupayaan sedia ada dalam membanteras jenayah siber dan antipenipuan daripada seluruh SPF di bawah satu perintah tunggal, selain membangunkan keupayaan baharu bagi meningkatkan keberkesanan operasi.
Unit itu akan berfungsi sebagai pasukan barisan hadapan dalam tindak balas SPF terhadap ancaman siber serta menerajui usaha melindungi rakyat Singapura daripada jenayah siber dan penipuan, katanya.
“Pusat Kawalan Siber akan menjadi unit barisan hadapan dan akan bermula dengan kira-kira 200 pegawai merentasi keupayaan operasi, penyiasatan dan risikan.
Kami merancang untuk menggandakan jumlah itu kepada 400 pegawai apabila pusat kawalan berkenaan memperluas keupayaannya dan beroperasi seiring dengan Pusat Kawalan Polis yang lain,” katanya pada perasmian Persidangan Antipenipuan 2026 pada Isnin.
Menurut Goh, sebuah Pusat Operasi Siber juga akan ditubuhkan di bawah unit baharu itu bagi meningkatkan keupayaannya menganalisis aktiviti jenayah dalam talian, mengenal pasti infrastruktur yang digunakan oleh penjenayah siber, serta melumpuhkan operasi berkenaan secara proaktif.
Beliau berkata pusat itu akan memanfaatkan teknologi untuk mengesan kempen pancingan data dengan pantas dan pada skala besar, hingga ke punca asalnya bagi menumpaskan keseluruhan operasi sindiket.
Beliau turut menekankan bahawa Pusat Antipenipuan yang ditempatkan di bawah unit Pusat Kawalan Siber itu akan diperluas fungsinya bagi menyekat transaksi mata wang kripto serta memanfaatkan risikan rantaian blok.-Bernama