Pakej ziarah haram undang risiko keselamatan jemaah haji

Pakej ziarah rasmi yang dipantau TH hanya disediakan selepas musim haji menerusi syarikat perkhidmatan yang dilantik / BERNAMA

MEKAH, 11 Mei – Tabung Haji (TH) menasihati jemaah supaya tidak mengambil pakej ziarah luar Mekah yang tidak berdaftar bagi mengelakkan risiko keselamatan menjelang kemuncak ibadah haji.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jemaah perlu tumpukan penjagaan kesihatan dan persediaan menghadapi Hari Wukuf di Arafah.
  • Pakej ziarah rasmi dipantau TH hanya disediakan selepas musim haji melalui syarikat perkhidmatan dilantik.
  • Pakej persendirian sukar dipantau, jemaah berisiko ditinggalkan atau dikenakan bayaran tambahan, kawalan pergerakan dijangka diperketat.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, ketika ini jemaah perlu memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan dan persediaan menghadapi Hari Wukuf di Arafah.

Beliau berkata pakej ziarah rasmi yang dipantau TH hanya disediakan selepas musim haji menerusi syarikat perkhidmatan yang dilantik.

“Kita nasihatkan jemaah supaya tidak mengambil pakej ziarah luar Mekah yang tidak diketahui latar belakang syarikatnya kerana aspek keselamatan perlu diberi keutamaan,” katanya.

Selain itu, katanya, TH juga sukar memantau keberadaan jemaah yang mengikuti pakej persendirian tanpa pendaftaran rasmi dan mereka juga berdepan risiko ditinggalkan atau dikenakan bayaran tambahan.

Mohd Hisham berkata pihak berkuasa Arab Saudi dijangka mengetatkan kawalan pergerakan menjelang kemuncak musim haji susulan peningkatan jumlah jemaah di Mekah. – BERNAMA