Erdogan sampaikan takziah kepada Datuk Seri Anwar, Tun Mahathir

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 29 September – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyampaikan ucapan takziah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pemergian abangnya, Allahyarham Idrus Ibrahim, serta kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atas pemergian isterinya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

RINGKASAN BERITA AI
  • Datuk Seri Anwar menerusi hantaran Facebook menyatakan ingatan dan doa daripada sokongan itu amat bermakna buat keluarganya.
  • Dalam panggilan telefon, mereka bertukar pandangan mengenai beberapa isu semasa tanpa memperincikan perbincangan.
  • Tun Dr Siti Hasmah mangkat di IJN pada 28 September usia 100, dan jenazahnya dikebumikan dengan penghormatan negara.
  • Idrus Ibrahim, 83, meninggal ketika tidur di Bukit Mertajam; bekas guru besar, meninggalkan isteri, empat anak dan 10 cucu.

Ucapan itu disampaikan Erdogan ketika beliau mengadakan perbualan telefon dengan Datuk Seri Anwar hari ini.

Datuk Seri Anwar berkata, Erdogan turut menitipkan salam takziah kepada Tun Dr Mahathir dan keluarga atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah.

“Ingatan dan doa beliau amat bermakna buat kami sekeluarga dalam saat yang berat ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Perdana Menteri, dalam panggilan yang sama, beliau dan Erdogan turut bertukar pandangan mengenai beberapa isu semasa yang menjadi perhatian bersama, namun tidak memperincikan perkara yang dibincangkan.

Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 28 September pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada 6.20 petang hari yang sama dengan diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.

Sementara itu, Idrus, 83 tahun, meninggal dunia ketika tidur di kediamannya di Bukit Mertajam pada 6.10 petang, 24 September lepas dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cheruk Tok Kun Bawah pada keesokan harinya.

Allahyarham merupakan bekas guru besar dan meninggalkan seorang isteri, empat anak serta 10 cucu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.