APM Terengganu siap siaga hadapi MTL, 460 ‘hotspot’ banjir dikenal pasti

Foto RTM

MARANG, 29 September – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dengan 68 kenderaan darat, 58 kenderaan air dan hampir 900 anggota yang boleh digerakkan pada bila-bila masa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerja penyelenggaraan dan pembaikan aset dilaksanakan untuk memastikan kelengkapan dalam keadaan baik dan siap digerakkan semasa banjir atau kecemasan.
  • Sebanyak 460 kawasan dikenal pasti sebagai lokasi berisiko dan 'hotspot' banjir di seluruh Terengganu berdasarkan rekod tiga tahun.
  • Pemantauan berterusan diambil kira hujan lebat setempat dan fenomena air pasang besar yang boleh menjejaskan kawasan kurang biasa dilanda banjir.
  • Bekerjasama rapat dengan MetMalaysia dan JPS, mengaktifkan PPS mengikut keperluan, serta menasihatkan penduduk mengenal pasti PPS dan mengikuti amaran cuaca.

Pengarah APM Terengganu, Mohd Zul Khairi Shamsuddin berkata, persiapan turut meliputi kerja penyelenggaraan serta pembaikan aset bagi memastikan semua kelengkapan berada dalam keadaan baik dan bersedia digunakan ketika berlaku banjir atau kecemasan.

Beliau berkata, berdasarkan rekod kejadian banjir dalam tempoh tiga tahun lalu, sebanyak 460 kawasan dikenal pasti sebagai lokasi yang berisiko dan menjadi ‘hotspot’ banjir di seluruh Terengganu.

“Pemantauan akan dibuat dari semasa ke semasa dan kita tidak hanya tertumpu kepada kawasan yang sering dilanda banjir.

“Kita turut mengambil kira keadaan cuaca semasa, termasuk hujan lebat setempat dan fenomena air pasang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Latihan Siri Khas Pengendalian Bot dan Asas Selam Skuba APM Terengganu di Pulau Kapas, di sini.

Mohd Zul Khairi berkata, pengalaman banjir sebelum ini menunjukkan hujan lebat setempat dan air pasang besar juga boleh menyebabkan kawasan yang sebelum ini tidak kerap dilanda banjir terjejas.

Menurutnya, antara kawasan yang diberi perhatian termasuk pedalaman Besut, kawasan pesisir pantai serta muara Sungai Terengganu, khususnya sekiranya berlaku air pasang besar.

Sehubungan itu, APM Terengganu akan melaksanakan pemantauan berterusan dengan mengambil kira perubahan cuaca dan keadaan setempat, selain bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Kerjasama itu penting bagi memastikan maklumat ramalan, amaran cuaca dan keadaan hidrologi terkini dapat disalurkan kepada pasukan di lapangan untuk tindakan awal.

Sebanyak 480 pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan sepanjang MTL lalu, manakala jumlah PPS yang akan dibuka pada musim ini bergantung kepada keperluan serta situasi semasa.

Pada masa sama, beberapa PPS kekal sedang dibina di Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Besut bagi menambah baik kemudahan serta keselesaan penduduk yang terjejas akibat banjir.

Mohd Zul Khairi turut menasihatkan penduduk terutama di kawasan berisiko supaya membuat persediaan lebih awal dengan mengenal pasti lokasi PPS berhampiran dan sentiasa mengikuti maklumat serta amaran cuaca yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.