
KUANTAN, 29 September – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-30
Kaneka Malaysia Sendiri Berhad di sini.
- Kaneka menyumbang besar kepada Pahang melalui 600 peluang pekerjaan, 95% daripadanya pekerja tempatan.
- Invest Pahang mahu tarik lebih banyak syarikat teknologi tinggi seperti Kaneka untuk berkembang di negeri ini.
- Produk Kaneka sesuai untuk pelbagai industri termasuk aeroangkasa, kenderaan elektrik, pembinaan dan rambut palsu.
- Sektor pembuatan sumbang 22 peratus kepada KDNK Pahang, dengan jumlah KDNK pada 2025 sekitar RM71 bilion.
Baginda turut menyaksikan penyampaian sumbangan cek cura daripada Pengerusi Kaneka Corporation, Kimikazu Sugawara kepada Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Profesor Dr Yatimah Alias.
Turut hadir, Duta Besar Jepun ke Malaysia Shikata Noriyuki serta Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib.
Sementara itu ketika bercakap dalam sidang media, Datuk Mohamad Nizar berkata, syarikat Kaneka telah memberi sumbangan yang besar kepada Pahang, khususnya menerusi 600
peluang pekerjaan dengan 95 peratus daripadanya merupakan pekerja tempatan.
“Kita di Invest Pahang, khususnya portfolio pelaburan dan perindustrian berharap dapat menarik lebih banyak lagi syarikat seperti Karneka yang merupakan syarikat berteknologi tinggi. Lihat sahajalah produknya yang boleh digunakan dalam pelbagai industri, industri aeroangkasa, industri kenderaan elektrik (EV), industri pembangunan, industri rambut palsu dan sebagainya.,” katanya.
Malah, beliau tidak menolak kemungkinan penglibatan syarikat terbabit dalam rancangan projek Pahang Aerospace City (PAC) pada masa depan.
Mengulas lanjut beliau berkata, Pahang merekodkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM71 bilion pada tahun 2025, dengan 22 peratus daripadanya disumbangkan sektor pembuatan.
“Saya yakin, Kaneka menjadi antara penyumbang besar dalam pencapaian itu,” katanya.