
ALOR SETAR, 29 September – Sebanyak RM20.11 juta dibelanjakan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui geran bantuan kepada 1,172 usahawan di Kedah bagi tempoh 2023 hingga 2025 dalam usaha meningkatkan keupayaan serta daya saing usahawan di negeri itu.
- KEDA memperuntukkan RM6.87 juta tahun ini untuk meneruskan agenda pembangunan keusahawanan di Kedah.
- Inisiatif termasuk latihan, bimbingan, pelabelan, promosi, bantuan peralatan serta penyertaan usahawan dalam ekspo dan pameran.
- Penyediaan sistem sokongan premis: 528 lot disediakan, 466 telah disewakan memberi ruang perniagaan lebih tersusun.
- Usahawan diingatkan menyesuaikan diri dengan perubahan perniagaan, berani berkembang dan memanfaatkan pemasaran digital untuk capaian pasaran lebih luas.
Peruntukan berkenaan merupakan antara komitmen KEDA dalam memastikan usahawan khususnya di kawasan luar bandar mendapat sokongan yang sewajarnya
untuk mengembangkan perniagaan.
Pengerusi KEDA, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata tahun ini, KEDA memperuntukkan sebanyak RM6.87 juta bagi meneruskan agenda pembangunan keusahawanan di Kedah.
“Peruntukan itu meliputi pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk latihan dan bimbingan, pelabelan serta promosi produk, bantuan peralatan perniagaan selain penyertaan usahawan dalam ekspo dan pameran,” jelasnya.
Katanya, kesemua inisiatif berkenaan dirangka bagi membantu usahawan meningkatkan pengetahuan, kemahiran, penjenamaan serta capaian pasaran produk masing-masing.
Beliau berucap demikian pada Majlis Apresiasi Usahawan KEDA Tahun 2026 di sini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, KEDA turut menyediakan sistem sokongan kepada usahawan menerusi penyediaan 528 lot premis untuk disewakan, dengan 466 lot ketika ini telah disewakan kepada usahawan.
“Daripada jumlah berkenaan, 223 unit merupakan kedai dan gerai, 148 unit bengkel Industri Kecil dan Sederhana (IKS), satu unit premis perniagaan komersial, tujuh lot tanah industri serta 149 unit IKS dan kedai di bawah seliaan anak syarikat KEDA,” jelasnya.
Datuk Seri Mahdzir berkata, kemudahan premis berkenaan memberi ruang kepada usahawan untuk menjalankan serta mengembangkan aktiviti perniagaan dalam persekitaran yang lebih tersusun.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan usahawan supaya sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan landskap perniagaan yang semakin pantas dan mencabar.
Katanya, usahawan desa tidak seharusnya hanya berusaha untuk mengekalkan perniagaan, sebaliknya perlu berani berkembang dan meneroka peluang pasaran baharu.
“Usahawan perlu memanfaatkan teknik pemasaran melalui platform digital yang mampu meningkatkan capaian pasaran dengan kos yang lebih rendah,”ujarnya lagi.