Wanita maut dipercayai dibunuh suami di Ladang Felda Umas 6 Tawau

Gambar hiasan

TAWAU, 29 September – Seorang wanita warga Indonesia ditemukan maut di sebuah rumah pekerja di Ladang Felda Umas 6, Jalan Kalabakan, dipercayai dibunuh suaminya, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suami suspek ditahan; lelaki 38 tahun mengalami kecederaan leher akibat mengelar diri menggunakan sebilah sabit dan kini dirawat di Hospital Tawau.
  • Pemeriksaan lokasi menemui kecederaan pada kepala, leher dan tangan mangsa; polis merampas sebilah sabit dan sebatang kayu berkaitan kejadian.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen; polis jalankan forensik, analisis DNA dan bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian kira-kira pukul 4.55 petang, 28 September.

“Mangsa berusia 37 tahun dan bekerja di ladang berkenaan.

Pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira pukul 8.16 mala,” jelasnya.

Menurut beliau, polis menahan suami mangsa, seorang lelaki warga Indonesia berusia 38 tahun, yang turut mengalami kecederaan di leher selepas mengelar dirinya menggunakan sebilah sabit.

“Suspek kini menerima rawatan di Hospital Tawau. Pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan kecederaan pada bahagian kepala, leher dan tangan mangsa,” ujar beliau.

Polis turut merampas sebilah sabit dan sebatang kayu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian.

Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada masalah hubungan rumah tangga selepas pasangan berkenaan pulang daripada bercuti.

Bagaimanapun, polis masih menyiasat punca sebenar kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Polis turut menjalankan pemeriksaan forensik, analisis DNA, mendapatkan laporan perubatan serta menjalankan bedah siasat bagi melengkapkan siasatan.

Polis menegaskan sebarang pengakuan awal suspek masih perlu disahkan melalui bukti lain yang diperoleh sepanjang siasatan,” tegas beliau.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Tawau, ASP Maliki Majuni di talian 017-898 9171 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.