Penghantaran pulang 5,000 warga Myanmar bukti keberkesanan diplomasi – Penganalisis

Pegawai Kedutaan Myanmar menjalankan proses dokumentasi bagi penghantaran pulang fasa pertama tahanan warga Myanmar di Stadium Daerah Manjung awal pagi ini (gambar penuh) Penganalisis Keselamatan dan Politik UiTM, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin (gambar kotak) / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 September – Persetujuan Malaysia dan Myanmar yang dicapai bagi penghantaran pulang kira-kira 5,000 warga negara itu menunjukkan keberkesanan pendekatan diplomasi dua hala dalam menangani isu kemanusiaan yang kompleks.

RINGKASAN BERITA AI
  • Isu pelarian berkait rapat dengan politik, keselamatan dan kedaulatan Myanmar, menjadikan rundingan kompleks.
  • Kepimpinan tentera melihat krisis sebagai urusan keselamatan dalaman, menolak tekanan dan campur tangan luar.
  • Prinsip tidak campur tangan ASEAN mengehadkan perbincangan, sekali gus mencabar usaha rundingan.
  • Memisahkan aspek kemanusiaan daripada politik membolehkan rundingan dua hala, dengan penekanan pada tapisan, keselamatan dan hak individu.

Penganalisis Keselamatan dan Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, persetujuan itu penting memandangkan isu pelarian turut berkait rapat dengan politik, keselamatan dan kedaulatan Myanmar.

“Bukan mudah untuk memastikan segala elemen berkaitan operasi dan rundingan dapat dilaksanakan dengan baik bersama junta Myanmar.

“Kepimpinan tentera Myanmar melihat krisis politik dan isu pelarian sebagai sebahagian daripada proses pasca-perubahan kepimpinan serta urusan keselamatan dalaman yang perlu ditangani sendiri, tanpa tekanan atau campur tangan pihak luar.

“Prinsip tidak campur tangan ASEAN atau non-interference ASEAN turut digunakan sebagai asas untuk menolak sebahagian perbincangan dan pendekatan diplomasi, sekali gus menjadikan usaha rundingan lebih mencabar,” katanya ketika dihubungi RTM.

Bagaimanapun, pendekatan yang memisahkan aspek kemanusiaan daripada perbezaan politik membuka ruang kepada rundingan dua hala antara Malaysia dan Myanmar.

“Semangat kesepaduan ASEAN serta diplomasi dua hala membolehkan aspek kemanusiaan diberikan ruang, tanpa menjadikan isu politik sebagai penghalang kepada proses penghantaran pulang,” katanya ketika dihubungi RTM.

Hari ini, kumpulan pertama membabitkan 1,476 warga Myanmar dihantar pulang menerusi fasa pertama Program Penghantaran Pulang Secara Sukarela yang dilaksanakan secara berperingkat.

Dr Noor Nirwandy berkata, proses penghantaran pulang perlu dilaksanakan secara teratur dengan mengambil kira aspek tapisan, keselamatan dan hak individu yang terlibat.

Beliau menyifatkan perkembangan itu turut membuka ruang kepada ASEAN untuk menangani isu pelarian Myanmar melalui pendekatan diplomasi dan kemanusiaan, selari dengan prinsip kepusatan ASEAN.

Sebelum ini, kerajaan Myanmar bersetuju untuk menerima semula kira-kira 5,000 warga negara itu secara berperingkat, hasil rundingan antara kedua-dua kerajaan, dengan aspek keselamatan dan sifat sukarela menjadi antara keutamaan dalam proses berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.