
KUALA LUMPUR, 29 September – Cadangan melanjutkan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Rantau Panjang, Kelantan bakal menghubungkan rangkaian rel Malaysia dengan jaringan kereta api Thailand.
- Perluasan ECRL berpotensi memperkukuh kesalinghubungan serantau, mewujudkan rangkaian rel merentasi Malaysia, Thailand, Laos, China dan Asia Tengah.
- Inisiatif ini selaras dengan pembukaan Terusan Pinglu di China dan mensasarkan integrasi rel dengan sektor pelabuhan untuk membentuk koridor darat laut.
- Koridor darat laut penting untuk meningkatkan nilai ekonomi, impak strategik dan keselamatan serta memastikan rantaian bekalan tidak terjejas.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jaringan perhubungan itu berpotensi memperkukuh kesalinghubungan serantau kerana mewujudkan rangkaian rel merentasi Malaysia, Thailand, Laos, China dan Asia Tengah.
“Ia juga seiring pembukaan Terusan Pinglu di China dan menerusi peluasan ECRL berkenaan merupakan projek jangka panjang yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada hubungan rel, malah perlu diintegrasikan dengan sektor pelabuhan bagi membentuk koridor darat-laut.
“Dengan adanya hubungan dari Thailand ke sempadan Malaysia dan seterusnya disambungkan dengan ECRL, ia akan mewujudkan sinergi lebih besar dalam rangkaian rel Pan-Asia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Minggu maritim Malaysia(MMW) 2026 di ibu negara.
Menurut Loke, pembangunan jaringan rel perlu dilihat secara bersepadu dengan sektor pelabuhan bagi memastikan manfaat ekonomi dan strategik dapat dimaksimumkan.
“Koridor darat-laut sangat penting agar membawa lebih banyak nilai ekonomi serta impak strategik dan keselamatan, di samping memastikan rantaian bekalan tidak terjejas,” katanya.