5,278 kes keganasan rumah tangga direkodkan sehingga Ogos

Datuk Dr Maziah Che Yusoff merasmikan Program Aku Wanita@KRT dan Hari Terbuka PRISMAnita Negeri Perlis 2026/Foto Facebook JPW

KANGAR, 29 September – Sebanyak 5,278 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di seluruh negara sehingga Ogos tahun ini, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlis catat penurunan kes kepada 40 berbanding 48 tahun lalu; usaha advokasi perlu diteruskan.
  • Setiap kes memerlukan perlindungan, intervensi dan sokongan berterusan bagi mangsa dan keluarga.
  • Keganasan rumah tangga merangkumi fizikal, emosi, seksual, eksploitasi ekonomi, sekatan pergerakan dan penyalahgunaan teknologi.
  • Program Aku Wanita@KRT dan PRISMAnita menggalakkan mangsa mendapatkan bantuan dan membuat laporan, serta memudahkan akses perkhidmatan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Maziah Che Yusoff berkata, daripada jumlah itu, Perlis merekodkan 40 kes, berbanding 48 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya, penurunan kes itu merupakan perkembangan positif yang menunjukkan usaha advokasi, kesedaran dan pencegahan perlu diteruskan secara konsisten.

“Namun, angka ini tidak boleh dilihat sebagai statistik semata-mata. Di sebalik setiap kes yang dilaporkan, terdapat individu dan keluarga yang memerlukan perlindungan, intervensi dan sokongan berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita@Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita@KRT) dan Hari Terbuka PRISMAnita Negeri Perlis 2026 di Dewan Bakawali, Mess Pegawai Kanan PDRM, di sini, hari ini.

Menurut Maziah, keganasan rumah tangga bukan hanya melibatkan kecederaan fizikal, malah merangkumi penderaan emosi dan psikologi, keganasan seksual, eksploitasi ekonomi, sekatan pergerakan serta hubungan sosial.

Katanya, penyalahgunaan teknologi dan ugutan melalui medium komunikasi turut menjadi antara bentuk keganasan yang perlu diberi perhatian.

Beliau berkata, Program Aku Wanita@KRT dan Hari Terbuka PRISMAnita merupakan antara usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai tanda dan bentuk keganasan rumah tangga.

Program itu turut menggalakkan mangsa mendapatkan bantuan serta membuat laporan.

Sehingga 13 September lalu, sebanyak 12 program Aku Wanita@KRT dilaksanakan di 12 negeri dengan penglibatan hampir 4,300 peserta, manakala 290 peserta menerima sokongan menerusi intervensi K-Chat.

Maziah berkata, KPWKM turut menyediakan perkhidmatan PRISMAnita bagi menghubungkan wanita dengan perkhidmatan kerajaan dan agensi berkaitan secara lebih cepat dan sistematik.

“Matlamat utama kita adalah untuk membina masyarakat yang lebih peka, berani bertindak dan tegas menolak segala bentuk keganasan rumah tangga,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.