Malaysia ambil kira keselamatan pelarian Myanmar sebelum dihantar pulang – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis perasmian Persidangan dan Pameran Profesional (PROFEX) 2026 yang julung kali diadakan di Pusat Konvensyen KLGCC hari ini / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 September – Proses penghantaran pulang pelarian Myanmar perlu dilaksanakan menerusi rundingan dengan pihak berkuasa negara itu bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan hak asasi mereka terjamin, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Isu pelarian Myanmar berlarutan dekad, memerlukan penyelesaian diplomatik bukan sekadar kecaman terhadap usaha kerajaan.
  • Malaysia tidak dapat terus menampung jumlah pelarian yang meningkat; rundingan diperlukan untuk penyelesaian jangka panjang.
  • Kerajaan akan terus guna saluran diplomasi untuk menetapkan syarat, parameter keselamatan dan kemudahan bagi yang dihantar pulang.
  • Perbincangan di Bangkok dan Beijing mencapai persetujuan menerima semula 5,000 warganya; fasa pertama menghantar 1,476 pulang sukarela.

Beliau berkata, isu pelarian Myanmar telah berlarutan selama beberapa dekad dan memerlukan penyelesaian diplomatik, bukan sekadar kecaman terhadap usaha kerajaan mencari penyelesaian jangka panjang.

“Pendirian kita adalah untuk melindungi kebajikan dan hak asasi mereka, tetapi sekadar mengecam kita kerana mengambil inisiatif ini, saya rasa tidak adil. Kita sedang berusaha mencari penyelesaian yang dipersetujui bersama terhadap isu ini,” katanya.

Datuk Seri Anwar berkata, Malaysia juga tidak boleh terus menampung jumlah pelarian yang semakin meningkat tanpa penyelesaian jangka panjang.

“Tiada negara yang boleh menerima ratusan ribu, malah ada negara yang menerima jutaan pelarian. Oleh itu, kita perlu berunding,” katanya.

Beliau menegaskan, sebarang penghantaran pulang perlu dipersetujui menerusi rundingan serta mengambil kira perlindungan terhadap pelarian apabila mereka kembali ke Myanmar.

Katanya, kerajaan akan terus menggunakan saluran diplomasi bagi menetapkan syarat dan parameter yang sesuai, termasuk aspek keselamatan serta kemudahan untuk mereka yang dihantar pulang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Profesional (PROFEX) 2026 di Pusat Konvensyen KLGCC, di sini, hari ini.

Sebelum ini, pertemuan dengan kepimpinan Myanmar telah diadakan di Bangkok, Thailand dan Beijing, China bagi membincangkan isu kemanusiaan, keselamatan serta keperluan mencari penyelesaian terhadap isu pelarian Myanmar di Malaysia.

Hasil rundingan itu, Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 warga negaranya yang berada di Malaysia secara berperingkat.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga memaklumkan, seramai 1,476 warga Myanmar yang bersetuju pulang secara sukarela telah dihantar dalam fasa pertama pada hari ini.

Proses itu dilaksanakan secara selamat, bertanggungjawab dan berdasarkan prosedur yang dipersetujui kedua-dua negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.